ARKIB : 03/09/2001
PENYERANG negara, Mohd.
Nizaruddin Yusof (kiri) diasak oleh pemain Brunei sambil diperhatikan Hairuddin
Omar semasa aksi bola sepak Sukan SEA XXI Kuala Lumpur di Stadium Petaling
Jaya, semalam. Malaysia menang 5-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
AKMAL Rizal Ahmad Rakhli
mencipta hatrik untuk membantu Malaysia menewaskan Brunei 5-0 dalam aksi
kumpulan B bola sepak Sukan SEA di Stadium Petaling Jaya, semalam yang
menyaksikan kedua-dua pasukan bermain 10 orang.
Namun, permulaan yang
meresahkan kira-kira 5,000 penyokong dipertontonkan oleh skuad negara sebelum
memperoleh tiga gol dalam masa tujuh minit terakhir babak pertama.
Permainan kemas skuad negara
bermula dengan gaya aneh - hanya selepas tercetus pergaduhan pada minit ke-27.
Insiden bermula di antara
pertahanan, Abd. Aziz Ismail dengan sayap kiri Brunei, Ideris Lupat. Yang
menjadi mangsa kad merah pengadil, A.G.C Deshapriya dari Sri Lanka ialah
perancang tengah, Shukor Adan dan pemain berpengalaman Brunei, Riwandi Wahit.
Bermain dengan 10 orang
menyukarkan skuad negara untuk mengatur gerakan lebih kemas. Pada minit ke-38,
peluang di depan gol tidak dipersiakan oleh sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin
yang menolak masuk ke dalam gawang yang terbuka.
Jaringan berpunca daripada
hantaran Akmal kepada Nizaruddin Yusof yang melorongkan bola kepada Hairuddin
Omar. Ketua pasukan negara itu, merembat tetapi terkena pertahanan lawan dan
bola terus menggolek kepada Indra untuk dia mudah menyepak masuk gol pertama.
Malaysia kemudian mendahului
2-0 apabila Akmal memulakan jaringan hatriknya dengan menolak masuk bola
hantaran Indra di dalam kotak gol pada minit ke-44.
Hanya seminit kemudian Akmal
menewaskan penjaga gol Brunei, Mohd. Wardun Yussof buat kali kedua, kali ini
dengan menanduk hantaran lintang pertahanan, Irwan Fadzli Idrus.
Sebelum itu, skuad negara
mensia-siakan banyak peluang akibat ketiadaan persefahaman dalam membuat
gerakan.
Pada minit ke-16 Hairuddin
mendapat peluang tetapi sepakannya tidak mengenai bola. Enam minit kemudian,
Akmal yang mendapat hantaran daripada Nizaruddin sekadar melepaskan sepakan
lemah ke dakapan penjaga gol Mohd. Wardun.
Babak kedua terus menjadi milik
skuad negara ketika Brunei nyata tidak mampu untuk melepasi pertahanan yang
diterajui oleh Norhafiz Zamani Misbah.
Kelincahan Akmal sentiasa menyukarkan
pertahanan Brunei yang dibolosi sekali lagi pada minit ke-70, kali ini dengan
gerakan solo dari kiri. Pemain yang pernah beraksi di Perancis itu menggelecek
dua pertahanan Brunei sebelum melepaskan rembatan dari jarak dekat ke penjuru
gawang untuk gol ketiga peribadi.
Pada minit ke-85, pemain
gantian, K. Rajan dijatuhkan oleh pertahanan Brunei, Mohamed Halimi di dalam
kotak gol dan Nizaruddin yang diserahkan tugas mengambil sepakan merembat
kencang gol untuk gol kelima skuad negara dari titik penalti.
MALAYSIA: Kamarulzaman Hassan,
Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nizam Jamil, Irwan Fadli Idrus, Abd. Aziz Ismail
(Rezuan Radzy), Mohd. Shukor Adan, Juzaili Samion, Indra Putra Mahayuddin,
Mohd. Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar (K. Rajan), Akmal Rizal Rakhli (Muhd.
Khaironnisam Sahabuddin).
BRUNEI: Mohd. Wardun Yussof,
Hassan Fadly (Mohamad Faizul Amboto), Mohamed Halimi, Ideris Lupat (Jasriman
Johari), Mohd. Shaiful Aznee, Muhd. Subhi Abdilah Bakir, Zulkefly Duraman,
Sairol Sahari (Rosmini Kahar), Ediruslan Abdul Samad, Riwandi Wahit, Rosmin
Mohd. Kamil.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bk4ohpmV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan