ARKIB : 26/05/2002
PENYERANG Brazil, Ronaldo
melompat selepas menerima asakan dari pemain Malaysia, Shahril Faizal pada
pertemuan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang
persiapan pasukan Amerika Latin itu menghadapi Piala Dunia FIFA, hujung bulan
ini. Brazil menang 4-0.
Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI
ABDULLAH
AGAK bercelaru pada babak pertama
tetapi rupanya Brazil memilih separuh masa kedua untuk memulakan aksi bertaraf
dunia ketika mengatasi pasukan negara 4-0 dengan bintang utamanya, Ronaldo
menjaringkan gol pertama pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Di hadapan kira-kira 65,000
penonton, Brazil gagal menemui sentuhan jaringan sepanjang babak pertama
permainan biarpun buat pertama kali, Luiz Felipe Scolari menurunkan gandingan
tiga penyerang utamanya, Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo.
Namun, setiap aksi serangan
Brazil nyata begitu berbahaya. Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo jelas berusaha
keras mencari gol untuk pasukannya.
Tetapi pujian tinggi harus
diberikan kepada barisan negara pada sepanjang babak pertama terutama penjaga
gol, Azmin Azram Aziz yang begitu tangkas menafikan percubaan Ronaldo dan
Rivaldo, biarpun akhirnya gagal menghalang Brazil daripada membolosi gawangnya.
Jaring Malaysia seharusnya
bergegar sekurang-kurangnya enam kali pada babak pertama termasuk tiga
percubaan tepat Ronaldo tetapi ketangkasan Azmin harus memikat kesebelasan
skuad samba.
Begitupun, barisan pertahanan
negara tidak langsung diberi rehat oleh rangkaian serangan Brazil dengan
asakan-asakan berbahaya mereka.
Bermula daripada kesilapan Khalid
Jamlus yang hampir menanduk ke gawang sendiri pada minit ketiga menerusi satu
sepakan sudut, Brazil memulakan aksi berbahayanya.
Bintang AS Roma, Emerson hampir
menanduk masuk sepakan sudut Ronaldinho dan tujuh minit kemudian, giliran
Ronaldinho menguji Azmin menerusi sepakan percuma yang ditepis keluar penjaga
gol negara.
Seminit kemudian, Lucio yang
beraksi dengan Bayer Leverkusen di Jerman, melonjak tinggi menanduk bola
sepakan sudut tetapi bola singgah ke kaki Subri Sulong yang menendang keluar.
Ronaldo yang pada mulanya agak
kurang mendapat bola, mula menunjukkan bisa pada minit ke-20. Bintang Inter
Milan itu melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti tetapi Azmin
berada pada posisi yang betul untuk menguis keluar bola.
Pintu gol Malaysia sentiasa
terancam setiap kali Brazil mendapat sepakan sudut dan Lucio berpeluang untuk
membuka jaringan seminit kemudian tetapi sekali lagi Azmin bertindak cemerlang
menepis keluar.
Sebelum waktu rehat, Ronaldo
memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-27 dan 31. Sepakan kencangnya dari
luar kotak penalti terkena Norhafiz Zamani Misbah manakala percubaan keduanya
ditepis keluar oleh Azmin.
Selepas menghadapi masalah
menembusi benteng padat Malaysia pada babak kedua, Brazil mula pesta golnya
pada babak kedua ketika permainan berusia 52 minit.
Sentuhan Ronaldo jelas masih
berbisa apabila mudah membuka jaringan untuk skuad Samba, permulaan kepada
pesta jaringan Brazil di Bukit Jalil.
Juninho yang dibawa masuk
menggantikan Rivaldo, menambah gol kedua Brazil pada minit ke-64, juga menerusi
gerakan mudah dengan meleretkan bola melepasi Azmin.
Bintang Real Betis, Denilson yang
masih mengekalkan aksi samba, terus menggegar gawang negara dengan gol ketiga
minit ke-72 hasil gerakan solonya dari tengah padang sebelum mengatasi Azmin
dengan melorongkan bola ke penjuru kanan pintu gol Malaysia.
Edilson turut melakar nama
sebagai penjaring Brazil enam minit kemudian menerusi sepakan padu untuk gol
keempat skuad juara dunia empat kali itu.
Apapun, Brazil nampaknya sudah
amat bersedia untuk mengharungi kempen Piala Dunia 2002 dan kesebelasan
utamanya, walaupun sedikit goyah, harus mampu memikat Scolari untuk aksi
pertama menentang Turki dalam perlawanan sulung Piala Dunia, 3 Jun ini.
Dan bagi pasukan negara, tentunya
pengalaman berharga itu dapat digunakan sepenuhnya semasa menghadapi Sukan Asia
di Busan, September ini.
MALAYSIA: Azmin Azram Aziz
(Syamsuri Mustafa), Norhafiz Zamani Misbah (Nizam Jamil), Rosdi Talib, Subri
Sulong (Shahril Faizal), Liew Kit Kong, Indraputra Mahayuddin (K. Rajan),
Muhamad Kaironnisam, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Ahmad Shahrul
Azhar (Mazuki Yusof), Akmal Rizal Rakhli (Hasmawi Hassan), Khalid Jamlus
(Zainizam Marjan).
BRAZIL: Marcos (Dida), Anderson,
Lucio (Vampeta), Edmilson, Roque Junior, Roberto Carlos (Junior), Emerson
(Gilberto Silva), Kleberson (Juninho Paulista), Rivaldo (Kaka), Ronaldinho
(Edilson), Ronaldo (Luizao).
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCiAg0ym
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan