Ahad, 19 Mac 2017

Sasaran negara tebus maruah

ARKIB : 16/10/2001
BANYAK sebab yang memaksa skuad muda negara mesti menang apabila menghadapi musuh terkuatnya, Thailand dalam kempen kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia malam ini.

Selain mahu mencapai sasaran awal untuk muncul juara kumpulan, inilah kesempatan terbaik anak buah Aminuddin Husim menumpaskan Thailand kerana bermain di tanah air sendiri.

Tetapi, paling utama ialah jika menang di Stadium KLFA, Cheras malam ini akan mengubat sedikit kepedihan luka bola sepak negara setelah skuad Bawah 23 Malaysia tumpas kepada Thailand pada perlawanan akhir Sukan SEA hanya sebulan lepas. Tetapi, tanggungjawab yang dipikul oleh skuad remaja ini bukan mudah. Thailand selaku juara bertahan telah membuktikan mereka begitu kuat. Sekadar perbandingan, Thailand membelasah Sri Lanka dengan sedozen gol sedangkan Malaysia hanya berupaya menjaringkan empat gol ke atas pasukan yang sama.

Dilihat daripada persembahan skuad negara setelah mengharungi dua perlawanan awal, mereka mampu melaksanakan tanggungjawab malam ini dengan cemerlang jika bermain dengan tenang dan mengikut perancangan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4blhZsSU9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan