Ahad, 26 Mac 2017

Malaysia kecundang lagi



ARKIB : 30/12/2002
PEMAIN Vietnam meraikan jaringan pertama mereka sambil pemain Malaysia termasuk penjaga gol, Azmin Azram Aziz kecewa semasa pertemuan penentuan tempat ketiga bola sepak Piala Tiger di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, semalam. Malaysia tewas 2-1. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
JAKARTA - Mimpi buruk mengiringi sisa perjuangan Malaysia dalam Piala Tiger 2002 apabila kempunan untuk mengekalkan kedudukan tempat ketiga yang dihasilkan dua tahun lalu setelah tewas 2-1 kepada Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, di sini, semalam.

Sebaliknya, Vietnam menebus kekecewaannya menerusi jaringan Tran Troung Giang pada minit ke-45 dan Nguyen Minh Phuong pada minit ke-59.

Gol tunggal Malaysia pula diperolehi oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-55 tetapi gagal membantu Malaysia yang mempamerkan aksi hambar terutama dalam separuh masa pertama.

Dalam saingan Piala Tiger di Bangkok pada 2000, Malaysia menewaskan Vietnam 3-0 untuk menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun, Malaysia yang sebelum itu mempamerkan aksi memberangsangkan sekalipun tewas 1-0 kepada Indonesia dalam saingan separuh akhir Jumaat lalu, gagal meneruskan corak permainan tersusun semalam.

Kemenangan Vietnam menyaksikan pasukan tersebut meraih RM76,000 di tempat ketiga manakala Malaysia memperoleh RM38,000 di tempat keempat.

Skuad kebangsaan memulakan aksi awal babak pertama dengan persembahan hambar sehingga membenarkann Vietnam beberapa kali mencuri kesempatan menembusi benteng pertahanan Malaysia.

Hanya kegagalan penyerang Vietnam yang diketuai Le Huynh Duc menemui penyudah menyelamatkan Malaysia daripada asakan pantas Vietnam.

Serangan pantas Vietnam hampir membawa padah kepada Malaysia tetapi sepakan Huynh Hong Son pula tersasar pada minit ke-14.

Entah kenapa, Malaysia gagal mengatur gerakan tersusun untuk memudahkan Vietnam membalas serangan, menyaksikan dalam satu percubaan rembatan Nguyen Quoc Truong dapat ditampan penjaga gawang, Azmin Azram Abdul Aziz pada minit ke-27.

Kelekaan Malaysia yang berterusan membawa padah apabila Troung Giang yang berada di depan pintu gol skuad kebangsaan, menyepak ke penjuru gawang menewaskan Azmin Azram untuk Vietnam mendahului 1-0, seminit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Malaysia cuba bangkit sebaik permainan bersambung pada separuh masa kedua tetapi sepakan sudut Indra Putra sekadar menyaksikan tandukan kencang Hairuddin Omar berjaya ditepis penjaga gol, Tran Minh Quang pada minit ke-47.

Asakan berterusan Malaysia akhirnya membawa hasil apabila mendapat tendangan percuma untuk Indra Putra merembat bola dari jarak 25 meter ke penjuru gawang Vietnam pada minit ke-55 bagi mengikat kedudukan 1-1.

Namun kegembiraan skuad bimbingan jurulatih Allan Harris cuma seketika apabila kegagalan tonggak pertahanan Norhafiz Zamani Misbah untuk mengeluarkan bola daripada kotak penalti Malaysia menyaksikan Minh Phuong yang merampas bola terus merembat masuk gol kemenangan empat minit kemudian. - Utusan

VIETNAM

Tran Minh Quang, Phang Hung Dung, Luong Trung Tuan, Huynh Hong Son, Nguyen Minh Phuong, Tran Minh Quang, Nguyen Quoc Truong, Pham Minh Duc (Nguyen Huy Hoang), Tran Troung Giang (Ngo Quang Troung), Trinh Xuan Thanh (Dang Phuong Nam), Le Huynh Duc.

MALAYSIA

Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulong (A. Victor), Norhafiz Zamani Misbah, Khaironnisam Sahabudin, Rosdi Talib, K. Nantha Kumar, Eddy Helmi Abdul Manan (Mohd. Fadzli Saari), Tengku Hazman Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Hairuddin Omar (Nizaruddin Yusuf), Akmal Rizal Rakhli.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQEWPngu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan