Jumaat, 24 Mac 2017

Penyertaan bola sepak ke Sukan Asia - Beri pertimbangan wajar - Dell



ARKIB : 19/07/2002
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi pertimbangan yang sewajarnya dengan meletakkan pembangunan dan masa depan bola sepak negara ini sebagai keutamaan dalam menyertai Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan membuat gesaan itu sebagai tindakan susulan daripada beberapa gesaannya sebelum ini dalam usaha meyakinkan MOM mengenai penyertaan skuad bawah 23 negara ke temasya tersebut.

``FAM begitu yakin bahawa permintaan kami untuk menyertai Sukan Asia tidak akan dipinggirkan begitu sahaja.

``Dalam usaha menyediakan pasukan terbaik untuk Sukan SEA dan pusingan kelayakan Olimpik tahun depan, MOM perlu menghulurkan tangan menyokong usaha kami ke Sukan Asia,'' katanya.

Sehingga ini katanya, separuh daripada pemain dalam skuad negara sekarang masih layak untuk beraksi dan membawa cabaran negara tahun depan.

Sehubungan itu jelasnya, Sukan Asia boleh dijadikan medan untuk menimba pengalaman berguna dari segi teknik dan taktik bola sepak peringkat tinggi.

``Kami di FAM sedar, mutu bola sepak negara ketika ini tidaklah sehebat mana. Tetapi dalam waktu yang sama, kita tidak boleh menutup pintu pendedahan kepada pemain demi peningkatan mereka.

``Kami ke Busan bukan untuk bersuka ria. FAM telah melabur banyak wang untuk pembangunan bola sepak dari satu peringkat ke satu peringkat.

``Sukan Asia adalah peluang untuk melihat hasilnya. Mungkin perlawanan persahabatan tidak mampu memberi ujian sebenar yang kami harapkan,'' tambahnya.

Menurutnya, bola sepak perlu dinilai secara berasingan memandangkan FAM masih dalam proses membentuk pasukan yang boleh dibanggakan.

``Oleh itu, kami mengharapkan bantuan dan sokongan MOM untuk tujuan itu. Mungkin dengan bermain dengan pasukan yang lebih hebat, ia dapat mendorong pemain muda dan berbakat seperti Akmar Rizal, Juzaili Samion dan Norhafiz Zamani Misbah untuk mencuba nasib di Liga Jepun dan Korea,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cEiiXGjv© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan