ARKIB : 17/10/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
MALAYSIA bermain penuh
semangat, tetapi belum cukup untuk menghalang daripada tewas 1-0 kepada juara
bertahan, Thailand pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Bawah 18
Sekolah-Sekolah Asia MSSM/ FAM/F&N di Stadium KLFA, Cheras, semalam.
Malaysia masih berbaki satu
perlawanan dengan Brunei hari ini dan hanya memerlukan seri untuk mengiringi
Thailand ke separuh akhir.
Dalam perlawanan semalam, skuad
negara menguasai 15 minit pertama tetapi Thailand perlahan-lahan mula
mengimbangi permainan Malaysia.
Malah, permainan berpihak
kepada Thailand apabila juara bertahan itu memperoleh gol sulungnya pada minit
ke-25 menerusi Panai Kongpraphan. Jaringan berpunca dari gerakan pertahanan,
Natthapong Samana yang melorongkan bola di dalam kawasan gol untuk Panai mudah
menolak masuk gol keenamnya setakat ini.
Permainan skuad negara kembali
bertenaga selepas rehat tetapi beberapa peluang keemasan gagal disempurnakan.
Percubaan untuk mendapat gol penyamaan hadir pada minit ke-67 yang menyaksikan
pemain tengah berpengalaman, Mohd. Fadzli Shaari menyepak sipi dari hujung
kawasan gol.
Pada minit ke-76, penjaga gol
negara, Md. Azri Md. Arus menepis keluar rembatan Ekapan Inthasen dari dalam
kawasan gol untuk melegakan penyokong tempatan.
Pada minit ke-84, Malaysia kehilangan
Syed Amir Syed Zainal Abidin setelah penyerang itu mengkasari Supachai Kuksub
untuk menerima kad kuning kedua.
Kemenangan Thailand itu
menyaksikan mereka mengekalkan rekod bersih daripada kesemua empat perlawanan
untuk mengumpul 12 mata dan muncul juara kumpulan.
Dalam satu lagi perlawanan Hong
Kong menghidupkan peluangnya untuk ke separuh akhir apabila menang 1-0 ke atas
Brunei di Stadium Selayang hasil jaringan Lo Kwan Yee pada minit ke-75, untuk
mengumpul tiga mata.
Persaingan dalam kumpulan B
menyaksikan empat pasukan - Indonesia, Korea Selatan, India dan China masih
berebut tempat ke separuh akhir hasil keputusan dalam dua perlawanan semalam.
Indonesia yang berada di tempat
teratas kumpulan telah menamatkan semua empat perlawanannya dengan mengumpul
enam mata. Semalam, naib juara tahun lepas itu melepaskan peluang untuk
mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila hanya berupaya seri 2-2 dengan
Korea Selatan yang kini hanya satu mata di belakang.
India pula menghidupkan peluang
setelah menang 2-1 ke atas Vietnam di Stadium Selayang menerusi jaringan gol
Sunil Chetril (71 dan 84) setelah ketinggalan kepada gol Huynh Nooc Long (15).
SMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bljONUky
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan