Khamis, 23 Mac 2017

Ilmu berharga dari Brazil



ARKIB : 27/05/2002
Oleh JOHARI SHAWAL
LUIZ Felipe Scolari dilaporkan tidak kagum dengan barisan Malaysia yang berjaya mengikat Brazil 0-0 pada babak pertama dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Tetapi seluruh penonton dan peminat tempatan merasa lega dengan kedudukan itu. Malaysia beraksi terbaik berbanding perlawanan bertaraf antarabangsa lain sehingga mengikat Brazil tanpa jaringan pada 45 minit pertama sebelum kecundang dengan empat gol pada babak kedua.

``Kami ke sini cuma mahu berlatih. Jika kami mahu lawan yang kuat untuk persahabatan terakhir kami, kami boleh menentang Itali atau Jerman,'' kata Scolari selepas Brazil menewaskan Malaysia 4-0 dalam aksi persahabatan itu.

Kenyataan jurulatih Brazil itu agak sinis, tetapi itulah tanggapan mereka, malah dunia sekali pun.

Brazil, juara dunia empat kali, selayaknya menang dengan jaringan lebih besar ke atas Malaysia yang berada pada ranking ke-112 dunia, berbanding skuad samba di ranking kedua.

``Pasukan mereka (Malaysia) amat bernasib baik, kita mencipta lapan atau sembilan peluang pada babak pertama,'' kata bintang utama Brazil, Ronaldo yang menjaringkan gol pertama pasukan itu.

Pertemuan yang dianggap bersejarah buat Malaysia itu kerana inilah kali pertama skuad gergasi dunia bertandang dan mengadakan persahabatan di sini, adalah ibarat `langit dengan bumi'.

Biarpun bersahaja, Brazil mencipta menghuru-harakan kawasan gawang Malaysia pada setiap minit menerusi gerakan-gerakan menarik ``3 R'' yang menjadi kebanggaan mereka, Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.

Tetapi sepasang tangan milik Azmin Azram Aziz mungkin menerbitkan ``rasa benci'' barisan Samba.

Azmin mencuri tumpuan semua, malah media Brazil juga mengakui ketangkasan penjaga gol itu yang menafikan tiga percubaan tepat Ronaldo, dua tandukan tajam Lucio dan sepakan percuma berbahaya Ronaldinho.

Tetapi Azmin akhirnya tewas pada babak kedua menerusi jaringan Ronaldo minit ke-52, Juninho (64), Denilson (73) dan Edilson (78).

``Bola sepak Malaysia masih jauh dan sukar untuk bersaing dengan pasukan gagah lain dalam rantaunya. Mereka perlu lagi bekerja keras,'' jelas Scolari.

Biar apa pun tanggapan Brazil terhadap pasukan negara, Malaysia sebenarnya sudah berjaya menimba satu pengalaman amat berharga.

Semua pemain negara yang diberi kesempatan Allan Harris bergeseran dengan bintang-bintang dunia, seharusnya dijadikannya ``harta'' yang tidak ternilai.

Brazil sudahpun berlepas ke Korea Selatan semalam untuk mengharungi kempen Piala Dunia 2002.

Kita perlu berterima kasih kepada Brazil kerana sudi hadir ke sini dan memberi satu memori indah bukan sahaja kepada barisan negara, bahkan peminat setianya di sini.

Cara terbaik membalas budi mungkin mendoakan supaya Brazil berjaya memenuhi impian merangkul Piala Dunia buat kali kelima dalam sejarah bola sepak negara itu

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cCpKe700
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan