Jumaat, 31 Mac 2017

Skuad Turkmenistan tarik diri



ARKIB : 03/05/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
DELL AKBAR KHAN menunjukkan surat penolakan FIFA terhadap rayuan Turkmenistan yang mahu menangguhkan perlawanan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik dengan Malaysia yang dijadual berlangsung malam ini, di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar SAZALI CHE DIN.

PERLAWANAN pertama pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik di antara Malaysia dengan Turkmenistan yang dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Shah Alam dibatalkan selepas pasukan lawan menarik diri lewat malam tadi.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yap Nyim Keong memaklumkan kepada pihak media selepas dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Turkmenistan.

``Kami mendapat faksimili daripada pihak Turkmenistan yang memaklumkan secara rasmi bahawa mereka menarik diri daripada perlawanan malam esok (malam ini),'' kata Yap.

Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia sepatutnya memperoleh kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 disebabkan keputusan Turkmenistan itu.

Malah, jika dilihat kepada keputusan FIFA ke atas perlawanan kelayakan di antara Iran dengan Maldives sebelum ini, Malaysia juga sepatutnya tidak perlu lagi ke ibu negara Turkmenistan, Ashqabad untuk perlawanan ulangan pada 7 Mei.

FIFA sebelum ini membuat keputusan menganugerahkan Iran kemenangan percuma ke atas Maldives pada kedua-dua perlawanan pusingan pertama itu setelah pasukan dari Lautan Hindi itu enggan ke Iran dengan alasan bimbang terhadap perang Amerika Syarikat ke atas Iraq.

Bagaimanapun, Malaysia masih perlu menunggu keputusan FIFA yang dijangka mengadakan mesyuarat berhubung tindakan Turkmenistan itu dalam masa terdekat ini.

Jika FIFA membuat keputusan Malaysia mendapat kemenangan percuma pada kedua-dua perlawanan itu, bermakna skuad negara layak ke pertandingan akhir zon Asia yang akan berlangsung pada Jun 2004.

Sebelum itu, FAM, pegawai pertandingan dari Maldives, Shahir Ahmed dan tiga pengadil dari Korea Selatan untuk perlawanan itu serta pihak media diselubungi teka-teki apabila Turkmenistan tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.15 pagi semalam mengikut jadual penerbangan mereka.

Mesyuarat pengurus-pengurus pasukan pagi semalam juga hanya dihadiri oleh pegawai-pegawai Malaysia tanpa kelibat wakil Turkmenistan.

Turkmenistan sebelum ini meminta perlawanan itu ditangguhkan kerana bimbang terhadap Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang melanda Asia.

Bagaimanapun, permintaan mereka telah ditolak oleh FIFA menerusi surat pada 30 April lalu yang mengarahkan perlawanan itu diteruskan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuUn7jbU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan