ARKIB : 14/03/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
PEMAIN Brazil, Wiiliam (No.19)
melonjak ketika mengelak terjahan penjaga gol MALAYSIA, Mohd. Helmi Eliza Elias
sewaktu perlawanan bola sepak Remaja Antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit
Jalil semalam. Brazil menang 3-0. - Gambar GAIE UCHEL.
SEPERTI diduga, Malaysia gagal
menyaingi kegagahan Brazil pada Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa
FAM-ProEvents selepas tunduk 3-0 dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil, semalam.
Semua tiga gol Brazil
dijaringkan pada separuh masa pertama. Brazil melangkah ke perlawanan akhir
dalam kejohanan yang menemukan empat pasukan itu, bertemu Portugal, Ahad ini.
Kehebatan Brazil bimbingan
Valinhos terserlah pada awal babak pertama permainan. Belumpun skuad negara
menyusun rentak permainan, Brazil seakan bersahaja apabila mudah membuka
jaringan menerusi sepakan percuma pada minit kedua.
Daniel Carvalho membuat sepakan
lencong dari sebelah kanan kotak penalti MALAYSIA dan pemain pertahanan tinggi
lampai, Irinev melonjak tinggi menyambung hantaran itu untuk Dudu yang berada
di hujung pintu gol skuad negara hanya menampan masuk.
Terkejut dengan jaringan awal
itu, pasukan K. Rajagopal mula menyusun kembali gerakan dan melancarkan
serangan dari bahagian sayap.
Peluang terbaik hadir pada
minit ke-10 apabila hantaran Harizul Izuan Abd. Rani singgah ke kaki pemain
sayap kiri, Rudie Ramli yang terus melepaskan rembatan kencang ke gawang Brazil
tetapi penjaga gol, Fernando Henrique sudah bersedia menangkis percubaan itu.
Empat minit kemudian, giliran
bek kiri, M. Ravinthiran menguji Fernando menerusi tendangan kencang tetapi
penjaga gol itu sentiasa bersedia untuk menangkap kemas bola.
Ketika skuad negara berusaha
keras mencari gol penyamaan, Brazil yang lebih menguasai bola menjadikan
kedudukan selesa pada minit ke-31. Carlos Alberto yang menguasai bahagian
tengah, cuba menembusi pertahanan tengah tetapi dijatuhkan di luar kotak
penalti oleh Yosri Derma Raju.
Penyerang, Dagoberto membuat
sepakan lencong yang cantik ke penjuru kiri gawang Malaysia sebelum menerjah
jaring untuk gol kedua Brazil.
Brazil menambah selesa
kedudukan mereka selepas penjaga gol Malaysia, Sani Anuar Kamsani gagal
menangkap kemas bola rembatan jauh Cleiton Xavier dari jarak 30 meter untuk gol
ketiga Brazil.
Seperti awal babak pertama,
Malaysia bermain goyah sebaik bersambung pada babak kedua apabila kerap membuat
hantaran bola yang tidak tepat kepada rakan. Brazil mengambil kesempatan
mengasak kubu negara tetapi digagalkan dengan penyudah yang kurang kemas.
Malaysia mendapat dua peluang
terbaik untuk mencari gol pertama menerusi Rudie yang membuat percubaan dari
sebelah kiri tetapi bola ditampan keluar Fernando pada minit ke-65.
Dua minit kemudian, R.
Surendran menyepak kencang dari luar kotak penalti tetapi Fernando sekali lagi
menghampakan pasukan negara apabila melayangkan badan menguis keluar bola.
Aksi kedua-dua pasukan hanya
seimbang ketika babak kedua berbaki 15 minit. Bagaimanapun, Brazil lebih
berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-87 apabila percubaan Dudu
mengenai palang gol.
MALAYSIA Sani Anuar Kamsani
(Helmi Eliza Elias), Mat Saiful Mohamad, Yosri Derma Raju, Armanzairi Johan, M.
Ravinthiran, Tengku Alias Tengku Ibrahim (Zaidi Rohmat), Norhisham Hassan,
Harizul Izuan Abd. Rani (K. Linggam), Rudie Ramli, R. Surendran (Safi Sali),
Fadzli Saari.
BRAZIL: Fernando Henrique,
Andre Bahia, Irinev, Jean (Adriano), Jancarlos, Carlos Alberto, Cleiton Xavier,
Dudu, Wendell (Alcev), Daniel Carvalho, Dagoberto
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ciuX1kqW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan