JAKARTA - Dua pemain Malaysia,
Indra Putra Mahayuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini amat popular di
Indonesia selepas menunjukkan persembahan yang memberangsangkan di Singapura.
Akmal bersama Indra telah
menjaringkan sejumlah lima gol daripada lapan gol yang diperoleh oleh skuad
negara dalam tiga perlawanan ketika kempen peringkat Kumpulan B di Singapura.
Kepantasan Akmal membuat larian
dan menggelecek telah menjadikan dia pemain yang sentiasa menyukarkan pasukan
lawan.
Dan, sokongan yang diterimanya
daripada Indra telah menambah tekanan kepada pemain-pemain pertahanan pasukan
lawan.
Indra, yang membantu Perak
menjuarai Piala Malaysia 2001, telah semakin meningkat sejak berada di bawah
bimbingan jurulatih Allan Harris.
Jurulatih skuad negara ke Piala
Dunia Belia, Hatem Soussi pernah berkata bahawa Akmal akan muncul sebagai
pemain yang hebat.
Ulasan Hatem itu diucapkannya
pada 1999 dan kini, apa yang difikirkannya telah menjadi kenyataan.
Akmal membuktikan bakatnya ketika
menimba pengalaman di Perancis dengan kelab FC Strasbourg bersama seorang lagi
bakat muda, Juzaili Samion.
Tahun lepas, Akmal telah
membuktikan kehebatannya kepada Indonesia ketika membantu skuad negara
menewaskan pasukan bawah 23 negara itu pada separuh akhir bola sepak Sukan SEA.
Dengan Akmal dan Indra berada
pada tahap terbaik, pasukan Indonesia bakal menghadapi kemungkinan serupa. -
Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cQ8ARKDF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan