Jumaat, 24 Mac 2017

Saingan terbuka -- Pemilihan ke Sukan Asia XIV



ARKIB : 01/09/2002
 
KHALID JAMLUS keluar dari Wisma FAM menuju pulang ke kampungnya di Ipoh, selepas sesi ujian kecergasan kendalian Allan Harris, semalam. Semua pemain diberi cuti sehari sebelum menyambung semula latihan, hari ini. - Gambar AZHAR MOGO.

Oleh Johari Shawal
PERTARUNGAN sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan bola sepak kebangsaan bakal disaksikan dalam tempoh sebulan latihan sebelum senarai akhir skuad negara untuk Sukan Asia Busan diumumkan.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata, semua 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan menunjukkan komitmen tinggi dan menampakkan semangat untuk dipilih dalam skuad kebangsaan.

``Semua pemain nampak cergas dan menunjukkan minat yang tinggi. Mereka nampak bersedia untuk membarisi pasukan kebangsaan ke Busan.

``Mungkin kita dapat lihat persaingan sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan,'' kata Harris selepas mengendali sesi ujian kecergasan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kecuali penyerang Perak, Khalid Jamlus yang cedera, pemain lain berjaya melepasi had yang ditetapkan semasa ujian kecergasan semalam.

Khalid hanya menjalani latihan ringan dan masih mendapatkan rawatan di FAM. Sementara tempat pemain Terengganu, Marzuki Yusof yang cedera serius di buku lali dan terpaksa diketepikan, diisi oleh pemain Pahang, Fadzli Shaari.

Harris perlu memilih 20 daripada 28 pemain untuk membawa cabaran negara di Busan, Korea Selatan.

Selain perebutan tempat antara pemain, lima pemain senior yang dipanggil juga perlu bekerja keras untuk dipilih.

Harris memiliki lima pemain senior dalam barisan pelatihnya iaitu ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz, bek kiri Terengganu, Rosdi Talib, pemain tengah Selangor, Tengku Hazman Raja Hassan dan Khalid.

Tempat Ahmad Shahrul dan Azmin kemungkinan terjamin tetapi nasib Rosdi, Tengku Hazman dan Khalid tidak menentu memandangkan pemain bawah 23 turut menunjukkan aksi memberangsangkan.

Nasib Khalid, penjaring terbanyak Perdana Satu dan penyerang terbaik negara ketika ini, masih samar selepas cedera ketika latihan di Jerman.

Dia dikatakan memerlukan rehat sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih dan keadaan itu mungkin memaksa Khalid melupakan hasrat ke Busan.

Acara bola sepak Sukan Asia dihadkan kepada pemain bawah 23 tahun tetapi membuka penyertaan kepada tiga pemain senior.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cGSmDjlN© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan