ARKIB : 29/01/2002
BANGKOK - Malaysia tersingkir
daripada persaingan merebut tempat ke separuh akhir bola sepak bawah 20 Asean,
selepas kalah teruk 8-1 kepada Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan A di
sini, semalam.
Thailand cuma mengambil masa 36
minit untuk menjaringkan tujuh gol selepas gol pertama dijaringkan oleh Panai
Kongpraphan seawal minit keempat.
Ekaphan Inthasen menjadi wira
Thailand apabila menyumbat empat gol.
Malaysia terpaksa beraksi
dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua permainan selepas Tengku Alias
Tengku Ibrahim dibuang padang pada minit ke-54.
Gol tunggal Malaysia
dijaringkan oleh Fadzli Shaari pada minit ke-61.
Kemenangan besar Thailand,
pasukan pilihan kejohanan, sekaligus meletakkan mereka sebagai juara kumpulan A
dan akan menentang naib juara kumpulan B pada separuh akhir.
Pertarungan untuk satu lagi
tempat ke separuh akhir dari kumpulan A ditentukan antara Singapura dengan
Myanmar selepas Singapura melonjak ke tangga kedua dengan enam mata setelah
menang 3-1 ke atas Indonesia semalam.
Myanmar di tangga ketiga dengan
empat mata tetapi memiliki satu lagi perlawanan menentang Indonesia hari ini.
Singapura, yang menewaskan
Malaysia 1-0, berpeluang ke separuh akhir jika Myanmar cuma mampu seri dengan
Indonesia.
Malaysia yang dibimbing
jurulatih dari Brazil, Jorvan Vieira sebelum ini merakam kemenangan 2-1 ke atas
Myanmar dan seri 3-3 dengan Indonesia.
Skuad negara kemudian tewas 1-0
kepada Singapura sebelum menerima igauan buruk tewas besar 8-1 kepada Thailand.
``Saya tidak menjangka kami
tewas dengan jaringan besar seperti ini tetapi saya akui Thailand sebuah
pasukan yang gagah.
``Mereka tidak bermain seperti
babak pertama dan Malaysia pula bermain amat buruk sepanjang separuh masa
pertama itu,'' kata Vieira.
Dalam kumpulan B di Phnom Penh,
Vietnam menamatkan aksi kumpulan dengan kemenangan 4-1 ke atas Kemboja semalam
untuk melonjak ke tangga teratas kumpulan.
Bagaimanapun, Vietnam dan Laos
berkongsi sembilan mata tetapi Laos berpeluang untuk menjuarai kumpulan jika
menang ke atas Kemboja pada perlawanan terakhirnya hari ini.
Dua pasukan teratas kumpulan
mara ke separuh akhir yang berlangsung di Bangkok. Perlawanan akhir turut
diadakan di bandar raya itu.
KEPUTUSAN
Kumpulan A
Thailand 8 MALAYSIA 1
Singapura 3 Indonesia 1
Kumpulan B
Vietnam 4 Kemboja 1
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4br6AeoRX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan