Rabu, 29 Mac 2017

Malaysia terapkan sistem 2+1

ARKIB : 11/03/2003
TUGAS BERAT....TIGA penjaga gol skuad kebangsaan bawah 21 tahun, Sani Anuar, Mohd. Hafiz Hamzah (kiri) dan Mohd. Helmi Eliza (kanan) menjalani latihan di padang Wisma FAM, semalam.

MALAYSIAakan mengamalkan sistem 2+1 iaitu latihan setempat di bawah seorang jurulatih bagi dua pasukan negara yang menghadapi kelayakan Olimpik serta Piala Asia pada Mei dan Ogos ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Latihan tersebut bakal menyaksikan pelatih skuad bawah 22 tahun negara yang menghadapi kelayakan Olimpik dan pasukan senior akan mempunyai kaedah yang sama di bawah seorang jurulatih iaitu Allan Harris.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, latihan seragam seumpama itu penting supaya pelatih skuad kebangsaan tidak keliru dengan corak permainan yang akan diterapkan.

``Jika kita mempunyai jurulatih berbeza bagi dua skuad, sudah tentu akan menimbulkan masalah apabila pelatih-pelatih ini diserapkan ke dalam satu pasukan lain kemudiannya.

``Ini kerana mereka (pelatih) akan merasa sukar untuk menerapkan sistem lain yang menjadi amalan pasukan baru mereka,'' kata beliau di Kuala LUMPUR, semalam.

Kata beliau, skuad bawah 22 tahun negara akan menjalani latihan untuk meghadapi kelayakan Olimpik Mei ini dan akan bergabung dengan pemain bawah 23 tahun negara yang kebanyakannya menganggotai pasukan senior.

Sementara itu, kata Ibrahim, pasukan negara yang bertanding dalam kelayakan Olimpik dan Piala Asia bergantung kepada kumpulan teras yang terdiri daripada 12 pemain.

Antara pemain dalam kumpulan teras itu ialah Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Sameon dan Irwan Fadly Idrus.

Menurut beliau, pemain daripada kumpulan tersebut penting kerana mereka boleh diserapkan ke dalam dua pasukan iaitu kelayakan Olimpik dan Piala Asia.

``Pemain daripada kumpulan ini tidak boleh dikekalkan dalam satu pasukan kerana tarikh perlawanan kelayakan Olimpik dan Piala Asia begitu rapat... jadi mereka yang dipilih kena bermain untuk dua kejohanan bagi memperkuatkan pasukan terlibat,'' tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Ibrahim, saingan Sukan SEA 2003 di Vietnam Disember ini tidak mendatangkan masalah kerana tidak ``diganggu'' dengan kejohanan lain.

``Pada bulan Disember, hanya Sukan SEA yang dipertandingkan, jadi kita boleh menggunakan siapa sahaja pemain yang diperlukan,'' kata beliau
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ciiVoU6J

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan