Ahad, 26 Mac 2017

Jangan perlekehkan Laos



ARKIB : 22/12/2002
Daripada BAZLI ABDUL RAHMAN
SINGAPURA - Jurulatih Malaysia, Allan Harris tidak mahu pemain-pemainnya leka dan memandang rendah skuad Laos untuk terus mencipta kemenangan dalam saingan terakhir peringkat kumpulan B Piala Tiger, di sini, hari ini.

Katanya, walaupun Laos telah tersingkir daripada saingan ke separuh akhir, perlawanan itu masih tidak boleh dianggap mudah.

``Sekalipun sudah layak ke separuh akhir, kita tidak boleh tewas untuk menjaga moral dan mengekalkan rentak permainan,'' katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah tewas 1-0 kepada Laos, pasukan bukan pilihan dalam perlawanan bola sepak Sukan Sea di Jakarta pada 1997.

Dalam saingan Piala Tiger kali ini, Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan B setelah menundukkan Singapura 4-0 dan menumpaskan juara bertahan, Thailand 3-1 manakala Laos pula kalah dalam dua perlawanan terdahulu, iaitu 5-1 kepada Thailand dan 2-1 kepada Singapura.

Harris berkata, dia berharap pemain memberikan komitmen tinggi sebagaimana ditunjukkan ketika bertemu Singapura dan Thailand.

``Bukan mudah menang terhadap Singapura terutama dengan jaringan yang begitu besar dan penyokong tentu merasakan kejutan setelah Malaysia mengalahkan Thailand.

``Bagi saya, kejayaan Malaysia kerana pemain yang akur terhadap apa dirancang,'' jelasnya. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQ01Luch
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan