Jumaat, 31 Mac 2017

Malaysia kempunan, Guatemala ke separuh akhir



ARKIB : 06/06/2003

MALAYSIA gagal merebut tempat ke separuh akhir Plate kejohanan Futsal KL World 5s manakala Argentina menjadi pasukan terakhir layak ke saingan tersebut selepas menewaskan Jepun 5-1 dalam kumpulan B, di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Sedangkan pasukan negara dihampakan skuad Guatemala yang mencipta kemenangan 5-2 dalam kumpulan D.

Argentina walaupun menang, diberi tentangan sengit oleh naib juara Asia, Jepun yang menggunakan taktik permainan pantas berbanding skuad Amerika Selatan itu yang jelas lebih hebat dari segi kemahiran mengawal bola.

Begitu pun, Argentina masih mampu menyumbat tiga gol sebelum babak pertama berakhir menerusi Esteban Gonzalez pada minit pertama dan minit ke-17 serta menerusi Marcelo Gimenez pada minit ke-12.

Jepun membalas menerusi percubaan tepat Watanabe Junichi (minit ke-14), yang merupakan gol tunggal mereka pada perlawanan itu.

Babak kedua berlangsung lebih menarik dengan Jepun berusaha keras untuk mencipta peluang tetapi pengalaman Argentina menyaksikan mereka menambah dua lagi gol menerusi Gustavo Barbona pada minit ke-26 dan ketua pasukan, Carlos Sanchez minit ke-27. Kemenangan itu meletakkan Argentina selaku juara Kumpulan B dan akan bertemu juara Kumpulan D, Iran pada separuh akhir Piala esok.

Jepun pula selaku naib juara Kumpulan B akan bertemu Uzbekistan dalam separuh akhir Plate hari ini.

Uzbekistan muncul naib juara Kumpulan D setelah menumpaskan England 10-2 sambil menyaksikan bekas pemain Pahang, Abduraimov Azamat yang turut bertindak selaku jurulatih menjaringkan empat gol (minit ke-8, 9, 13 dan 38). Uzbekistan mendahului 5-0 pada babak pertama.

Uzbekistan menambah enam lagi gol menerusi Ahmedov Bahodir (minit ke-12, 12 dan 33), Nigmatzyanov (minit ke-32) dan Nurmatov Nigman (minit ke-35 dan 36). England membalas menerusi Mark Simmons (minit ke-25) dan Michael Corran (minit ke-38).

England di tempat ketiga Kumpulan D akan bertemu Indonesia dalam separuh akhir Plate hari ini.

Juara ASEAN, Thailand pula akan beraksi dalam separuh akhir Plate selepas menundukkan wakil benua Afrika, Afrika Selatan 6-2 dalam aksi Kumpulan A.

Gol-gol Thailand diperoleh menerusi Anucha Manjareen (minit ke-9), Nares Sukngam (minit ke-14), Anupong Polsak (minit ke-14, 15 dan penalti minit ke-19) serta Yutthana Polsak (minit ke-32). Afrika Selatan memperoleh gol melalui percubaan Enver Wilter (minit ke-17) dan Charldon Stevens (minit ke-33).

Kemenangan itu melayakkan Thailand bertemu naib juara Kumpulan C, Guatemala yang menundukkan Malaysia 5-2 pada perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan C.

Skuad negara, yang menunjukkan permainan bersemangat bagaimana pun kelihatan kurang tenang seperti ketika memberikan saingan sengit kepada Uruguay ketika kalah 5-3 pada Isnin lepas.

Mungkin tertekan dengan sorakan kira-kira 3,000 penonton, permainan skuad negara kurang kemas pada babak pertama sehingga menyaksikan Guatemala dengan mudah menembusi kawalan anak-anak buah Silvio Machado yang menggantikan penjaga gol utama negara, Zaid Ramli dengan Mohamad Faris pada babak kedua.

Gerakan serba tidak kena mereka me-nyaksikan Guatemala menguasai permainan babak pertama untuk mendahului 4-0 menerusi jaringan Estuardo Juarez (minit ke-7), Edy Rivera (minit ke-11), Walter Granados (minit ke-14) dan Marlon Noj (minit ke-16).

Jaringan pertama skuad negara dijaringkan oleh Zainodin Kasmidim pada ke-28 tetapi kemudian melepaskan peluang untuk menambah gol setelah sepakan penaltinya seminit kemudian melambung tinggi.

Addie Azwan Zainal mengembalikan semangat para penyokong negara apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-31 setelah menggelecek penjaga gol lawan, Carlos Merida sebelum menyepak ke gawang tidak berpenghuni.

Tetapi, jaringan itu sudah terlalu lewat untuk Malaysia meneruskan kebangkitan, tetapi boleh berpuas hati dengan semangat dan permainan bersungguh-sungguh yang telah mereka tunjukkan.

Malah, serangan balas Guatemala sempat menambah gol kelimanya pada minit ke-33 menerusi Juarez.

Malaysia, yang menamatkan persaingan dalam Kumpulan C tanpa mengutip mata akan bertemu Afrika Selatan esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cy05Ojy1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan