ARKIB : 13/03/2003
Pemain-pemain pasukan Brazil
mengadakan latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang Kejohanan Remaja
Antarabangsa yang bermula hari ini. - Gambar HANAFI KHAMIS.
SAMBIL tidak memperkecilkan
Malaysia, skuad bola sepak remaja Brazil menganggap Portugal sebagai pasukan
yang bakal menghalang hajat mereka untuk menguasai Kejohanan Antarabangsa
Malaysia FAM-ProEvents yang bermula hari ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Jurulatihnya, Jose Claudinei
Giordini berkata, Portugal telah menjuarai Kejohanan Remaja Dunia sebanyak dua
kali dan barisan pemain mereka sentiasa mantap dan bertenaga.
``Portugal memiliki barisan
pemain yang lebih berpengalaman berbanding Brazil.
``Kami tidak menganggap barisan
kami sebagai pilihan pada kejohanan ini kerana Portugal lebih baik. Korea
Selatan juga semakin meningkat.
``Kami juga tidak menganggap
MALAYSIA pasukan lemah dan saya tidak melihat Malaysia sebagai pasukan
belasahan.
``Mereka pasti lebih
bersemangat untuk menentang kami dan kami perlu berwaspada,'' kata jurulatih
itu yang lebih senang dipanggil Valinhos selepas mengendali latihan pasukannya
di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Brazil menyandarkan gandingan
dua penyerangnya, Dagoserto dan Daniel Carvalho untuk menggempur barisan
pertahanan Malaysia, Portugal atau Korea pada kejohanan ini.
Kejohanan ini adalah sebagai
pemanas badan oleh Brazil dan Korea Selatan menjelang Kejohanan Remaja Dunia
yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Valinhos mengakui setiap
perlawanan yang membabitkan pasukan Brazil amat penting.
``Setiap perlawanan yang
melibatkan Brazil, tidak kira sama ada pasukan senior atau junior, diikuti oleh
seluruh penduduk Brazil.
``Memang mereka fanatik tentang
pasukan kebangsaan Brazil dan oleh itu, kami perlu pastikan setiap perlawanan
berakhir dengan kemenangan,'' katanya.
Mengenai perlawanan menentang
Malaysia hari ini, Valinhos sentiasa berpesan kepada anak buahnya supaya tidak
memandang rendah keupayaan barisan tuan rumah.
``Setiap pasukan ada peluang
untuk menjuarai kejohanan ini termasuk tuan rumah, Malaysia. Jadi, kita jangan
lekas alpa,'' tambahnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cimlfu2u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan