Jumaat, 31 Mac 2017

Skuad negara rasa terkilan

ARKIB : 03/05/2003

SKUAD negara meneruskan latihan seperti biasa untuk perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik hanya untuk mengetahui bahawa perlawanan dengan Turkmenistan di Stadium Shah Alam malam ini dibatalkan.

Petang semalam, skuad negara di bawah bimbingan Allan Harris meneruskan latihan penyesuaian padang di Stadium Shah Alam sebagaimana amalan pertandingan antarabangsa.

Tetapi, lewat malam tadi, beliau dan skuadnya diberitahu bahawa Turkmenistan tidak datang dan perlawanan itu dibatalkan.

Harris juga tidak jadi mengumumkan nama-nama 18 pemain yang terpilih untuk perlawanan itu.

Skuad negara kini mempunyai 23 pemain tetapi lima daripada mereka akan digugurkan sebelum perlawanan berlangsung.

``Saya tidak mahu mengumumkan senarai 18 pemain yang akan beraksi. Ia tidak wajar kerana Turkmenistan tidak jadi datang,'' kata Harris.

Turkmenistan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.15 pagi semalam tetapi mereka tidak muncul.

Lewat malam tadi, Turkmenistan memaklumkan menerusi satu faksimili kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa mereka menarik diri.

Bagaimanapun, bagi pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, kemenangan percuma bukan keputusan terbaik untuk skuad negara.

``Kami memang menantikan perlawanan ini kerana pemain-pemain kini berada pada tahap terbaik selepas membuat persiapan rapi,'' katanya dengan nada terkilan di Petaling Jaya semalam.

``Skuad ini telah mencatatkan beberapa keputusan seri dan kemudian menang menjelang perlawanan ini. Jika perlawanan tidak berlangsung, ia akan merendahkan moral pemain,'' jelas beliau.

Skuad bawah 23 negara seri 1-1 dengan skuad kebangsaan Maldives pada perlawanan persahabatan pertama dua bulan lepas sebelum seri 2-2 dengan pasukan Perdana Satu, Pahang di Kuantan pada perlawanan ujian pertama pada 16 April lepas.

Mereka kemudian mencipta keputusan lebih memberangsangkan dalam lawatan ke Australia apabila menang 4-2 ke atas skuad remaja Adelaide sebelum menewaskan pilihan Australia Selatan 2-0 dalam dua perlawanan persahabatan di negara Kanggaru itu minggu lepas.

Skuad negara turut menimba pengalaman menentang skuad Piala Dunia Belia Brazil dan Korea Selatan.

Namun, Malaysia kalah 3-0 kepada Brazil sebelum ditewaskan Korea Selatan dan 2-0 dalam Kejohanan Belia Antarabangsa di Kuala Lumpur Mac lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cuepwLNw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan