Sabtu, 25 Mac 2017

Skuad bawah 23 dikekal untuk Piala Tiger

ARKIB : 26/10/2002
SEBAHAGIAN besar pemain bawah 23 negara yang beraksi pada Sukan Asia XIV Busan, bakal dikekalkan untuk mengharungi tugasan terakhir Malaysia di arena bola sepak antarabangsa tahun ini - Piala Tiger, Disember depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, mereka masih diberi kepercayaan walaupun pada dasarnya kejohanan itu adalah untuk pemain senior.

Katanya, tempat pemain skuad Sukan Asia yang tidak dipilih ke Piala Tiger di Singapura dan Indonesia itu sebaliknya akan digantikan dengan pemain negeri yang menyerlah sepanjang kempen Piala Malaysia ketika ini.

``Piala Tiger ini memang untuk pemain senior tetapi mungkin kita kekalkan sebahagian besar pemain bawah 23 dan selebihnya daripada skuad negeri yang cemerlang dalam Piala Malaysia,'' jelasnya.

Malaysia pernah bergelar naib juara di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Wan Jamak Wan Hassan ketika Piala Tiger dilangsungkan kali pertama di Singapura pada 1996.

Skuad negara bimbingan Abdul Rahman Ibrahim pula menduduki tempat ketiga pada November 2000. Piala Tiger mulai 15 hingga 29 Disember nanti menemukan Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Laos dalam kumpulan B.

Selain itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM, memberitahu, laporan prestasi skuad negara di Busan bakal dibentangkan dalam mesyuarat majlis persatuan, Selasa ini.

Tengku Abdullah turut berharap tiada pihak yang memperlekehkan skuad negara selepas Sukan Asia setelah FAM berkeras mahu menghantar pasukan ke Busan sedangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) cuma memandang dingin.

``Kita perlukan pertandingan besar seperti Sukan Asia untuk pendedahan pemain. Tentang sejauh mana pencapaian kita, itu soal kedua kerana saya tak boleh menjanjikan kejayaan sekelip mata,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cO8oNxCZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan