ARKIB : 08/02/2002
KONFEDERASI Bola Sepak Asia
(AFC) mengesahkan bahawa acara bola sepak pada Sukan Asia ke-14 di Busan, Korea
Selatan Oktober depan adalah untuk pemain bawah 23 tahun.
Keputusan tersebut dicapai pada
mesyuarat jawatankuasa eksekutif AFC yang dipengerusikan oleh presidennya,
Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, semalam.
``AFC mendapati kejohanan bawah
23 tahun ini merupakan kejohanan yang jarang sekali dianjurkan. Oleh itu ia
harus diberi perhatian khusus...lagipun ia merupakan landasan paling baik untuk
melahirkan pemain kebangsaan (senior) yang berkeupayaan,'' kata Setiausaha AFC
Datuk Peter Velappan.
``Ini juga bermakna bahawa
Sukan Asia Busan akan dijadikan gelanggang pertama untuk mempertandingkan
kejohanan bola sepak bawah 23 tahun.
``Kejayaan kejohanan bawah 23
tahun ini pada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lepas, juga merupakan beberapa
faktor yang mendorong AFC untuk memberi ruang kepada kejohanan ini (bawah 23
tahun) dipertandingkan pada Sukan Asia Busan,'' jelas Velappan.
``Pemain-pemain ini telah
mempamerkan mutu yang menarik malah berlangsung dalam aksi yang paling
sengit...dan AFC fikirkan kejohanan bawah 23 tahun ini adalah landasan terbaik
untuk tujuan pembangunan,'' katanya.
Katanya, peringkat umur ini
merupakan tahap matang bagi seseorang pemain itu melangkah menjadi senior yang
berkeupayaan.
Faktor lain yang turut menjadi
alasan adalah kejohanan bawah 23 tahun ini sudah semakin popular di kalangan
persatuan gabungan AFC di Asia Barat mahupun timur, dan ternyata ia telah
memberi pulangan baik kepada pembentukan skuad senior negara-negara terbabit.
Di samping itu katanya, acara bola sepak di Sukan Olimpik juga adalah untuk
pemain bawah 23 tahun.
``Oleh itu, maka wajarlah
kejohanan bawah 23 tahun ini diperkenalkan pada Sukan Asia akan datang,''
katanya.
Menurut Velappan, AFC mempunyai
banyak kejohanan bawah umur termasuk bawah 19 tahun, bawah 14 tahun dan bawah
20 tahun tetapi kejohanan peringkat umur bawah 23 tahun ini masih kurang.
``Dengan adanya kejohanan bawah
23 tahun pada peringkat Sukan SEA dan Asia, AFC berharap supaya semua persatuan
kebangsaan gabungan AFC memperkenalkan kejohanan masing-masing pada peringkat
usia tersebut dan seterusnya mencapai matlamat AFC untuk melihat pembangunan
bola sepak yang lebih berkesan di rantau ini,'' kata Velappan.
Ditanya sama ada tuan rumah
Sukan Asia sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Velappan menjelaskan
bahawa pihaknya akan memberitahu Majlis Olimpik Asia (OCA) mengenai keputusan
itu.
``Kita akan maklumkan kepada
OCA mengenai keputusan AFC mengenai keputusan ini bagi mengelak sebarang
kekeliruan,'' katanya.
Walaupun demikian, setiap
pasukan boleh menyenaraikan tiga pemain senior dalam pasukan masing-masing,
jelas Velappan. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4brhzd4pp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan