Sabtu, 25 Mac 2017

Gomez jurulatih baharu Harimau Malaysia, Kim Swee kendali skuad B-22

ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE
Sufian Hadi Sojak
25 Mac 2017 4:20 PM

KUALA LUMPUR 25 Mac - Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez diumumkan sebagai pengendali baharu Harimau Malaysia, sementara Datuk Ong Kim Swee ditugaskan membimbing skuad Bawah 22 tahun (B-22).

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebaik mendapat mandat menerajui badan induk tersebut bagi penggal 2017-2021.

Jurulatih kelahiran Argentina, Gomez pernah membantu JDT menjuarai Liga Super pada 2015 dan 2016, termasuk memenangi Piala AFC 2015.

Sementara itu, Kim Swee berdepan tugas berat untuk mengendalikan skuad B-22 dalam tempoh kira-kira lima bulan menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, yang akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini.

“Saya berada dalam pasukan remaja begitu lama sebelum saya dinaikkan ke skuad kebangsaan.

“Saya tak nampak sebarang masalah dan jika ini berlaku seperti mana yang diumumkan Tuanku Presiden, buat kali keempat saya bersama skuad Sukan SEA dan ini memberikan saya banyak pengalaman seperti anda semua tahu, Sukan SEA pertama saya berjaya membuahkan pingat (emas), tetapi kedua dan ketiga saya gagal.

“Ini poeluang saya untuk memperbaiki...lebih-lebih lagi kita menjadi pasukan tuan rumah,” jelas Kim Swee sambil memberitahu beliau sedia meniliti lebih mendalam berkaitan persediaan skuad B-22 dan berbincang bersama TMJ bagi mengatur langkah baharu.

Skuad B-22 yang sebelum ini dikendalikan Frank Bernhardt sedang mengharungi Kejohanan B-23 Piala Dubai 2017 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula dari 20 hingga 28 Mac ini. - UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gomez-jurulatih-baharu-harimau-malaysia-kim-swee-kendali-skuad-b-22-1.461625#ixzz4cKQ1vFZu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan