JAKARTA - Indonesia mencipta
keajaiban apabila membelasah Filipina 13-1 di Stadium Senayan untuk menempah
tempat ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger bersama-sama Vietnam,
yang menundukkan Myanmar 4-2 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, semalam.
Kemenangan besar itu meletakkan
Indonesia di tangga kedua di belakang Vietnam, yang menjuarai Kumpulan A dengan
10 mata.
Vietnam akan bertemu naib juara
Kumpulan B, Thailand sementara Indonesia akan berdepan dengan pasukan penuh
kejutan, Malaysia.
Indonesia, yang sebelum
perlawanan dilihat menghadapi misi mustahil kerana memerlukan
sekurang-kurangnya sembilan gol untuk layak ke separuh akhir, bagaimanapun
berjaya mencipta kemenangan paling besar dalam sejarah Piala Tiger.
Gol-gol pasukan tuan rumah
dijaringkan oleh Bambang Pamungkas (4 gol), Zaenal Arif (4 gol), Sugiyantoro (2
gol) dan Budi Sudarsono serta Imran Nahumarury yang masing-masing menjaringkan
satu gol. Gol ke-13 Indonesia diperoleh hasil jaringan sendiri pemain Filipina,
Soldman Licuanan.
Menyedari perlu menang besar,
Indonesia menguasai perlawanan sebaik sepakan pertama dan mereka tidak
memerlukan usaha keras untuk meruntuhkan kubu lawan.
Tugas mereka tambah mudah apabila
Filipina hanya meletakkan penjaga gol simpanan, Alvin Montanez yang beraksi
kali pertama di peringkat antarabangsa mengawal gawang.
Bambang memulakan pesta jaringan
pada minit kedua selepas Agung Setyobudi dijatuhkan di sebelah kiri kawasan
gol.
Agung, yang mengambil sendiri
sepakan percuma, menyepak lemah tetapi kegugupan Montanez pada perlawanan
antarabangsa pertamanya menyaksikan bola terlepas dari tangkapannya dan meleret
kepada Bambang untuk menolak masuk.
Lima minit kemudian, Zaenal Arif
menambah gol kedua apabila dia menanduk masuk sepakan sudut, sekali gus
menambah keyakinan Indonesia untuk mencatat kemenangan besar. Dan mereka tidak
menunggu lama.
Pada minit ke-17, Supriyono
membuat larian di sebelah kanan dan dengan pertahanan Filipina sudah terkeluar,
dia menolak bola kepada Budi Sudarsono, yang dengan mudah menyepak masuk.
Bambang memperoleh gol keduanya
pada minit ke-29 dan menyempurnakan jaringan hatrik pada minit ke-34 untuk
meletakkan Indonesia mendahului 5-0.
Tiga minit kemudian, Putu Gede
melepasi perangkap ofsaid dan melepaskan bola kepada Zaenal yang tidak dikawal
untuk menyepak masuk.
Zaenal membuatkan para penyokong
Indonesia bertambah semangat apabila menjaringkan gol ketiganya semalam, empat
minit selepas itu.
Dengan tujuh gol dihasilkan pada
babak pertama, kejayaan buat pasukan tuan rumah itu tampak semakin hampir dan
mereka menambah enam lagi pada babak kedua.
Begitupun, Filipina yang dilihat
tidak memiliki keupayaan melawan, masih mampu membalas dengan satu gol menerusi
Ali Go pada minit ke-78.
Sementara itu Dang Phuong Nam
menjaringkan gol pada minit ke-51 dan 68 untuk menerajui kemenangan Vietnam ke
atas Myanmar. Dua lagi gol Vietnam dijaringkan oleh Trinh Xuan Thanh pada minit
ke-38 dan sepakan penalti Lee Huynh Duc pada minit ke-76
Myanmar pula membalas menerusi My
Lwin Oo pada minit ke-28 dan Htay Aung, minit ke-80. - Agensi
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQ22gpKt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan