Sabtu, 25 Mac 2017

Selamat pulang selepas dibelasah

ARKIB : 04/10/2002
MASAN - Pasukan bola sepak negara sudah boleh mengucapkan selamat tinggal pada Sukan Asia XIV ini apabila mereka tewas dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A kepada tuan rumah, Korea Selatan, 4-0 di Stadium Utama Masan, di sini, semalam.

Stadium yang dipenuhi penyokong Red Devils itu nyata bukan gelanggang sesuai buat pasukan negara selepas Korea Selatan memberikan asakan bertali arus membuatkan penjaga gol negara, Azmin Azram Aziz terpaksa bekerja keras di hadapan gawang.

Biarpun menerima sedikit tentangan dari barisan kesebelasan utama negara, Korea Selatan nyata mampu menyumbangkan gol pada babak pertama permainan. Penyerang Korea Selatan, Kim Eng Jun menggegar gawang Malaysia pada minit ke-22 menerusi sepakan kencang apabila bola terkena palang dan melantun masuk ke gawang.

Aksi cemerlang Korea Selatan diteruskan hanya 14 minit selepas perlawanan berlangsung apabila Choi Tae berjaya menggelecek pertahanan negara, Norhafiz Zamani untuk menjaringkan gol.

Harapan pasukan negara terus musnah apabila babak kedua berlangsung dengan Eng Jun sekali lagi menyumbat gawang pada minit ke-67 untuk gol ketiga sebelum diaibkan dengan gol keempat Korea Selatan oleh Lee Doon Gook pada saat akhir permainan.

Dalam aksi semalam, Malaysia nyata tidak berupaya melakukan sebarang cubaan untuk menjaringkan gol apabila barisan pertahanan Korea Selatan terlalu kuat untuk dibolosi penyerang negara. - Utusan

SENARAI PEMAIN

Malaysia : Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulung, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Eddy Helmi Abd. Manan, Hairuddin Omar, Mohd. Fadzli Saari, Muhamad Khalid Jamlus, Shukor Adan, Muhamad Khaironnisam Hussain, Irwan Fadzli Idrus.

Korea Selatan : Lee Won Jae, Cho Byung Kuk, Hyun Young Min, Kim Young Chul, Kim Du Hyun, Lee Chun Soo, Choi Tae Uk, Lee Young Pyo, Kim Dong Jin, Cho Sung Hwan, Kim Eun Jung.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cL6lPgna
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan