Jumaat, 24 Mac 2017

Gol emas Nazri ranapkan Malaysia



ARKIB : 17/07/2002
Ketua pasukan Malaysia, Ahmad Shahrul Azhar (kanan) cuba dibentes oleh pemain Singapura, Rudy Khairon Deaiman dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Darul makmur, Kuantan, semalam. Malaysia tewas 2-1.

JARINGAN emas masa tambahan oleh ketua pasukan, Nazri Nasir membantu Singapura untuk menghampakan Malaysia 2-1 pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Pasukan pelawat ternyata bertindak seperti cencaru makan petang untuk menafikan tuan rumah yang berada di hadapan dalam tempoh 88 minit setelah mendahului menerusi pemenang Kasut Emas Perdana Satu, Khalid Jamlus minit ke-34.

Sayang sekali gol Zulkarnaen Zainal menyekat kegembiraan Malaysia apabila menghukum kelekaan barisan pemain skuad negara yang seperti cuma menantikan wisel terakhir permainan.

Malaysia langsung menyerah ketika permainan berlanjutan ke masa tambahan setelah terikat 1-1 angkara libas pari oleh Nazri yang merembat masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-95.

Malah kejutan awal Singapura juga sudah tiba ketika beberapa saat babak pertama menerusi penyerang kelahiran Croatianya, Mirko Grabovac yang merembat tepat namun tolakan keluar Azmin Azram Abdul Aziz menghalangnya.

Minit kelima menyaksikan tuan rumah bangkit menyerang. Hasil umpanan Zainizam Marjan dari tengah, Indra Putra Mahyuddin melepaskan rembatan kaki kiri yang bagaimanapun tersasar beberapa inci dari gol Singapura.

Dua sepakan percuma benteng Terengganu, Rosdi Talib pada minit ke-10 dan 23 juga belum mampu menghasilkan sesuatu untuk negara.

Segala kehampaan kira-kira 30,000 penonton di Stadium Darul Makmur akhirnya ditebus Khalid, yang baru ditawarkan kontrak bermain di Jerman, dua minit kemudian.

Usaha sama Liew Kit Kong dan Zainizam bagaimanapun terlebih dulu merencana jaringan Malaysia itu lantas Khalid sesudah memperdayakan dua benteng lawan, berjaya merembat masuk menerusi kaki kirinya.

Peluang tidak pula serik-serik menyapa Singapura dan Azmin terus memaksa mereka berputih mata. Menerusi tandukan penyerang kelahiran Brazil, Egmar Concavles, pasukan pelawat sekadar melihat cubaan itu disisihkan.

Malang sekali ketika Malaysia semakin mendekati kemenangan, Singapura menghukum mereka. Azmin akhirnya tertewas dengan tolakan kaki kanan oleh pemain gantian pelawat, Zulkarnaen Zainal ketika permainan berbaki hanya tiga minit. Singapura akhirnya me-maksa skuad negara kempunan pada minit ke-95 menerusi jaringan Nazri.

MALAYSIA: Azmin Azram Abdul Aziz, Norhafiz Zamani Misbah, Subri Sulong, Ahmad Shahrul Azhar Soffian (Juzali Samion), Liew Kit Kong (Eddy Helmi Manan), Rosdi Talib (K. Rajan), Indra Putra Mahyuddin, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Mohd. Khaironnizam Sahabuddin (Nidzam Jamil), Khalid Jamlus (Hasmawi Hassan), Zainizam Marjan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cEU3DC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan