Selasa, 21 Mac 2017

Perancangan kekal mantap



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya sudah cukup bersedia membuat perhitungan dengan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini meskipun terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Zaquan Adha Abd Radzak yang pulang ke tanah air semalam berikutan kematian bapanya.

Kim Swee berkata, ketiadaan Zaquan sememangnya dirasai kerana pemain itu berada dalam perancangannya bagaimanapun beliau menekan masih memiliki pemain yang mampu mengisi kekosongan itu.

“Zaquan memang ada dalam perancangan saya untuk diturunkan esok (hari ini) tapi disebabkan berita mengejutkan kematian bapanya, saya membenarkan dia pulang kerana itu lebih penting.

“Kehilangan insan tersayang saya percaya boleh meletakkan Zaquan dalam situasi tidak bersedia untuk bermain dan saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarganya.

“Bagaimanapun, tanpa Zaquan, saya ada pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd Amri Yahyah, Syazwan Zainon dan Hadin Azman untuk bermain di bahagian sayap kiri dan kanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Manila semalam.

Zaquan yang juga pasangan kembar bekas pemain pertahanan kebangsaan Aidil menerima perkhabaran sedih apabila ayahnya Abd Radzak Salleh, 68, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban jam 4 petang semalam akibat asma dan masalah usus.

Pertembungan dengan Filipina adalah ujian pertama Harimau Malaysia tahun ini dan kemenangan sememangnya dicari Kim Swee selepas kali terakhir skuad negara menang 4-0 dalam saingan Piala AFF 2007.

Malah, dalam dua pertemuan ketika Kim Swee menjadi pengendali sementara pada 2014 berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Jurulatih kelahiran Melaka berusia 46 tahun itu berharap semua pemain kekal fokus dan berdisiplin andai mahu membawa pulang kemenangan kali ini.

“Filipina kita tahu pasukan yang semakin meningkat di rantau ini jadi kita tidak boleh ambil mudah. Saya percaya semua pemain faham akan tanggungjawab masing-masing dan ia bukan tugas mudah tapi kami mempunyai keyakinan untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini,” jelas Kim Swee.

Perlawanan dengan Filipina ini pada mulanya diatur sebagai pemanas badan sebelum menentang Korea Utara bagi kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang pada 28 Mac ini, namun atas faktor keselamatan pertemuan itu ditangguhkan di gelanggang berkecuali pada 8 Jun ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 8:37 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan