Khamis, 23 Mac 2017

Pasukan kerdil berjaya ikat Malaysia

ARKIB : 07/05/2002
MALAYSIA menempah jalan sukar apabila hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan kerdil, Kemboja pada pusingan kelayakan bola sepak kumpulan 10 Kejohanan Bawah 20 Asia di Stadium Shah Alam, semalam.

Keputusan itu menyebabkan Malaysia menduduki tempat kedua dengan empat mata selepas dua perlawanan, dua mata di belakang pasukan terkuat, Vietnam yang akan mereka temui esok.

Kedudukan itu menyebabkan Malaysia mesti menang apabila menentang Vietnam pada perlawanan terakhir itu, perlawanan yang dilihat sebagai tiket untuk skuad negara mencipta sejarah mara ke pusingan akhir kejohanan buat kali pertama.

Pusingan akhir akan berlangsung di Qa-tar Oktober ini.

Babak pertama menjadi milik skuad negara menguasai permainan, tetapi bahagian serangan jelas kehilangan ilham untuk mencari gol sebelum menyaksikan Kemboja bangkit di babak kedua.

Percubaan terbaik skuad negara muncul pada minit ke-55 apabila pemain pertahanan tinggi lampai, Mohd. Salim Zulkifli menanduk sipi sepakan sudut pemain Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim.

Lima minit kemudian, Mohd. Safee Sali - penjaring dua gol ketika Malaysia menang 6-0 ke atas Macau Sabtu lepas Ñ yang masuk menggantikan Amir Shahreen Mubin juga menyaksikan tandukannya tersasar sedikit selepas menyambar sepakan sudut M. Ravithiran.

Anak buah Jorvan Vieira melontarkan segala strategi, namun asakan bertali arus mereka terus dikecewakan oleh pemain-pemain Kemboja yang memenuhi kawasan gol mereka.

Sebaliknya, gawang skuad negara yang nyaris dibolosi pada minit ke-87 apabila penyerang Kemboja, San Fidel menyepak bola sedikit tinggi di atas palang.

Dalam satu lagi perlawanan, Vietnam mengambil kesempatan ke atas Macau yang bermain dengan sembilan orang untuk merakamkan kemenangan 7-1 dengan Nguyen Minh Duc menghasilkan dua gol.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4c9bL1bJ4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan