Khamis, 23 Mac 2017

Persediaan Harris tempang

ARKIB : 15/05/2002
PERSEDIAAN skuad bola sepak negara untuk ke Sukan Asia ketika ini nampak terjejas setelah jurulatih pasukan, Allan Harris menyaksikan satu demi satu pemain utamanya tumbang akibat kecederaan.

Harris dan anak buahnya berlepas ke Myanmar semalam, tetapi terpaksa meninggalkan seorang lagi pemain, Irwan Fadli Idrus - antara pemain penting Harris di bahagian pertahanan.

Irwan terpaksa ditinggalkan kerana rawatan memulihkan keting kanannya yang patah dalam perlawanan Perdana Dua dengan MPPJ Selangor pada 10 Mei lepas lebih penting.

Pemain itu menambah senarai pemain negara yang terpaksa menghuni Wisma FAM di Kelana Jaya untuk menjalani latihan pemulihan.

Sebelum ini, Nizaruddin Yusof dan Rudie Ramli turut mengalami kecederaan di kaki dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan.

Kedua-dua pemain Selangor itu sudah pasti tersingkir daripada senarai pasukan yang akan menentang Brazil dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional pada 25 Mei ini. Malah, Nizaruddin yang hanya sempat bermain satu perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini dan Rudie dijangka terpaksa melulakan untuk beraksi dalam Sukan Asia September ini.

Dan, Irwan kelihatan akan menyertai mereka.

``Nampaknya saya tercicir lagi,'' kata pemain pertahanan Kedah itu. ``Saya harap dapat pulih secepat mungkin dan bermain di Sukan Asia.''

Ini adalah kali kedua Irwan mengalami kecederaan yang sama. Tahun lalu, dia hanya menyaksikan Pestabola Merdeka selaku penonton kerana patah kaki kiri.

Skuad Harris yang dijadualkan mengadakan dua perlawanan persahabatan di Myanmar turut kehilangan pemain Pulau Pinang, Abd. Aziz Ismail yang juga cedera di kaki.

Tetapi Harris berkata bahawa belum ada sesiapa yang sudah pasti akan mewakili negara ke Sukan Asia.

``Saya belum membuat keputusan, jadi tiada siapa yang sudah terpilih dalam se-narai ke Sukan Asia,'' kata Harris sebelum berlepas ke Myanmar.

``Perlawanan persahabatan di Myanmar adalah untuk mencuba pemain-pemain termasuk yang baru. Saya mahu melihat persefahaman di antara mereka.''

Harris menyenaraikan penjaga gol Johor FC, G. Jeevanathan yang hanya melepaskan 19 gol daripada 18 perlawanan setakat ini. Turut tersenarai ialah Zainizam Marjan, adik kepada bekas pemain kebangsaan dan Sabah, Matlan Marjan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cA3Cje26© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan