Daripada ZULKEFLI HAMZAH
JAKARTA - Indonesia yang terpaksa
bertatih untuk mara ke separuh akhir Piala Tiger memandang tinggi kemampuan
Malaysia yang berpotensi menguburkan impian mereka untuk menjulang piala itu.
Bagi Indonesia, persembahan luar
biasa Malaysia mengejutkan juara bertahan Thailand 3-1 dan tuan rumah,
Singapura 4-0 semasa pusingan awal membuktikan mereka sebagai pasukan yang
mantap dan berbahaya.
``Setelah melihat dua perlawanan
Malaysia menentang Thailand dan Singapura di televisyen, saya menilai Malaysia
adalah pasukan kuat. Mereka adalah pasukan yang bagus dan berbahaya,'' kata
jurulatih Indonesia, Ivan Kolev di Jakarta semalam.
Apa yang paling ditakuti oleh
jurulatih berasal dari Bulgaria dan pernah memimpin skuad tempatan dalam liga
Indonesia itu ialah serangan balas Malaysia yang pantas dan sering menghasilkan
gol.
Malaysia akan menentang Indonesia
pada Jumaat ini di Stadium Bung Karno setelah muncul juara dalam Kumpulan B.
Indonesia muncul naib juara Kumpulan A setelah Vietnam mengalahkan Myanmar 4-1.
Indonesia yang membelasah
Filipina 13-1 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan sangat bergantung kepada
keputusan perlawanan Vietnam-Myanmar berikutan kutipan mata yang sama dengan
Myanmar.
Kolev berkata, berikutan prestasi
anak buah Allan Harris yang memberangsangkan itu, Indonesia perlu berwaspada
terutama di bahagian pertahanan untuk menangkis serangan Malaysia yang pantas.
Mengenai strategi pasukannya,
Kolev menjelaskan, setakat ini pihaknya belum menentukan corak permainan dan pemain
yang bakal diturunkan kerana ia bergantung kepada keadaan pemain dan lawan.
Bagi Indonesia, Malaysia
merupakan lawan yang sering mengecewakan mereka.
Ini kerana Malaysia pernah
mengecewakan Indonesia di pusingan separuh akhir Piala Tiger 1996 dengan
keputusan 1-3.
Bagaimanapun bagi Kolev,
kemenangan besar ke atas Filipina telah menjadi bekal dan memberi motivasi
kepada pasukannya untuk meneruskan perjuangan menghadapi Malaysia.
``Pasukan Indonesia sudah mulai
menunjukkan peningkatan terutama mental pemain sehingga dapat dilihat sekarang
Indonesia bermain tanpa beban. Saya berharap ini dapat dipertahankan ketika di
separuh akhir nanti,'' katanya.
Berbekalkan semangat itu dan
strategi yang bakal diatur, jelas Kolev, pasukannya tidak akan gentar melawan
Malaysia terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
``Sebagai tuan rumah kita tidak
boleh menyerah begitu saja. Dan saya yakin para pemain telah memiliki motivasi
yang tinggi untuk menang pada perlawanan akan datang,'' tambahnya.
Bekas pemain kebangsaan, Bambang
Nurdiansyah pula mengingatkan Indonesia agar meningkatkan konsentrasi semasa
menentang Malaysia berikutan prestasi pasukan itu yang begitu membanggakan.
``Saya terkejut semasa Malaysia
secara meyakinkan dapat menewaskan Thailand yang merupakan raja bola sepak
ASEAN. Indonesia patut berwaspada dengan pasukan Malaysia walaupun secara
umumnya kemampuan kedua-dua pasukan adalah seimbang,'' katanya. - Utusan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cQ3kLM1x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan