ARKIB : 08/03/2003
BIAR pun menguasai permainan,
skuad bawah 23 tahun Malaysia gagal mengatasi barisan lemah Maldives selepas
hanya seri 1-1 dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium MPPJ, Petaling
Jaya, semalam.
Skuad Allan Harris yang sedang
membuat persiapan menjelang kelayakan Olimpik Mei ini bermain baik pada awal
separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Malaysia
dikejutkan dengan gol pendahuluan skuad kebangsaan Maldives pada minit ke-12
menerusi sepakan penalti setelah bola terkena tangan seorang pemain pertahanan
negara di dalam kawasan gol.
Penyerang Maldives, Ali Umar
tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan pasukannya mendahului Malaysia
dengan mudah menewaskan penjaga gol, Mohd. Shamsuri Mustaffa.
Malaysia segera bangkit dan
mengasak Maldives untuk mencari gol penyamaan, tetapi beberapa peluang terbaik
ketika permainan berusia setengah jam terutama daripada Akmal Rizal Rakhli,
Indra Putra Mahyuddin dan Zulkifli Zaki gagal menemui sasaran.
Namun, ketika separuh masa
pertama berbaki lima minit, K. Rajan menendang kencang dengan kaki kiri dari
jarak 30 meter bagi menewaskan penjaga gol Maldives, Ishaq Easa untuk gol
penyamaan.
Maldives, naib juara kejohanan
bola sepak Asia Selatan (SAFF), tewas menerusi sepakan penalti kepada
Bangladesh dalam perlawanan akhir yang berlangsung bulan lalu, tiba-tiba
bangkit pada awal babak kedua dan cuba mengasak kubu negara tetapi ketua
pasukan, Norhafiz Zamani Misbah tenang mengemudi barisan pertahanan negara.
Barisan serangan Malaysia juga
memiliki banyak peluang untuk menambah gol tetapi setiap gerakan gagal
disudahkan dengan baik.
Harris, selepas perlawanan
berkata bahawa beliau tidak begitu kecewa dengan keputusan seri itu walaupun
sedikit terkilan kerana Malaysia sepatutnya mencipta kemenangan setelah
menguasai perlawanan.
``Saya tidak memandang kepada
keputusan walaupun sedikit kecewa kerana Malaysia menguasai permainan,'' kata
jurulatih dari England itu.
``Walau pun seri, namun saya
berpuas hati terutama terhadap persembahan pemain-pemain baru terutama K.
Thalayan, Redzuan Radzi dan penyerang muda berusia 16 tahun, Zulfadly Ismail,''
katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ciDmUY8c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan