Sabtu, 18 Mac 2017

Bola sepak: Persaingan bermula

ARKIB : 01/09/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
SUKAN SEA, temasya sukan terbesar yang menjadi kebanggaan rantau Asia Tenggara dan yang pertama di alaf baru ini, kembali semula ke Malaysia 12 tahun selepas kali terakhir Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1989.

Sudah menjadi tradisi, sukan bola sepak membuka tirai temasya dwitahunan ini.

Perlawanan pertama ialah di antara juara bertahan, Thailand dengan Kemboja hari ini manakala Malaysia pula akan memulakan langkah pertamanya dengan bertemu Brunei esok.

Pada 1989, Kuala Lumpur menyaksikan skuad negara, yang ketika itu dilatih oleh Trevor Hartley dari England muncul juara. Tetapi sejak itu kilauan emas semakin jauh daripada pemain-pemain negara, malah tidak pernah layak ke separuh akhir.

Sepeninggalan Hartley, lima jurulatih - bekas pemain kebangsaan, Rahim Abdullah (Manila 1991), Ken Worden dari Australia (Singapura 1993), Claude Le Roy (Chiang Mai 1995) dari Perancis, Wan Jamak Wan Hassan (Jakarta 1997) dan Abdul Rahman Ibrahim (Brunei 1999) gagal dalam percubaan mereka.

Kali ini tiba giliran rakan senegara Hartley, Alan Harris untuk memulihkan imej bola sepak tempatan di kalangan negara-negara serantau.

Pertandingan bola sepak kali ini menggunakan format baru iaitu setiap pasukan menghantar pasukan bawah 23 tahun.

Ini, bermakna semua pasukan belum begitu mengenali kelemahan atau kelebihan pasukan lawan. Malaysia dan Thailand bagaimanapun terkecuali selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam Pestabola Merdeka Jun lepas.

Harapan kepada Harris tinggi menggunung setelah pasukannya berjaya memikat semula perhatian peminat tempatan dalam kejohanan itu, apatah lagi setelah menumpaskan Thailand dengan 2-1.

Skuad muda negara membuat persiapan rapi untuk Sukan SEA ini termasuk mengadakan lima perlawanan persahabatan yang semuanya dimenangi.

Mereka menumpaskan Bahrain 1-0, skuad senior kebangsaan 4-3 dan 2-1, Singapura B-23 2-1 dan terbaru Laos 4-3.

Harris yang memulakan kerjayanya di negara ini selaku jurulatih skuad bawah 19 pada pertengahan 1998 yakin kejayaan lampau boleh diulang.

``Keputusan yang baik kali ini akan menaikkan semula nama skuad negara serta memikat peminat tempatan,'' katanya yang dilantik menggantikan Abdul Rahman sebagai jurulatih kebangsaan pada awal tahun ini.

``Yang penting sekarang ialah menumpukan perhatian terhadap perlawanan pertama menentang Brunei. Aksi sulung sentiasa sukar tetapi kita perlu menang untuk mendapat semangat tambahan,'' tegasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjx1Kv8b

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan