Ahad, 19 Mac 2017

Jaminan bank RM250,000 - Pemain import musim 2002

ARKIB : 04/11/2001
PASUKAN yang berhajat menggunakan khidmat pemain import - yang akan diperkenalkan semula dalam bola sepak Liga Malaysia tahun depan - perlu menyediakan jaminan bank bernilai RM250,000 untuk setiap seorang pemain.

Perkara itu diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat majlisnya selama dua jam di Hotel Regent, Kuala Lumpur, semalam.

``Kita telah bersetuju supaya diberi ruang kepada pasukan yang mampu untuk mengambil sehingga dua orang pemain import bermula tahun depan,'' kata Naib Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad selepas mesyuarat. ``Tetapi mereka mesti menyediakan jaminan bank sebanyak RM250,000 untuk setiap pemain.''

Selain jaminan bank, katanya, pasukan terbabit juga boleh mengemukakan surat tajaan daripada syarikat korporat yang bersetuju menaja pengambilan setiap pemain import.

Katanya lagi, FAM juga meletakkan syarat tambahan iaitu ia dibenarkan memeriksa kedudukan kewangan pasukan yang berminat menggunakan pemain import kerana bukan semua memiliki kemampuan.

Setiap pasukan juga dibenarkan mengikat kontrak maksimum selama dua tahun dengan setiap pemain luar.

Jika pemain itu menamatkan kontraknya setahun lebih awal, maka dia tidak boleh berhijrah ke pasukan tempatan lain dan hanya boleh kembali beraksi di negara ini selepas tempoh dua tahun itu tamat.

FAM turut menetapkan bahawa setiap pemain diberi gaji maksimum sehingga RM20,000 termasuk bayaran cukai pendapatan.

Insentif lain seperti rumah dan kereta bebas untuk ditentukan oleh pasukan.

``FAM juga akan mengeluarkan garis panduan berhubung bayaran bonus,'' ujar beliau.

Khidmat pemain import ditamatkan oleh FAM pada 1998 berikutan banyak masalah dihadapi oleh pasukan terutama berhubung pembayaran gaji.

Namun, awal tahun ini, FAM mencadangkan agar pasukan dibenar semula mengimport pemain untuk menambah kerancakan bola sepak tempatan.

Dengan perkembangan terbaru itu, FAM turut memutuskan bahawa khidmat setiap pemain kontrak sekarang luput secara automatik pada 15 November ini dan mereka bebas untuk berhijrah.

Mesyuarat turut membuat keputusan bahawa sepak mula Liga-M akan berlangsung pada pada 26 Januari manakala Pertandingan Piala Sumbangsih pula akan dilangsungkan pada 19 Januari.

``Tarikh tamat pendaftaran pemain ialah pada 9 Januari,'' kata Redzuan.

Mengenai yuran perpindahan pemain, beliau berkata FAM menetapkan bahawa bayaran maksimum ialah sehingga RM250,000.

``Ini kerana kita tidak mahu dengar lagi bayaran perpindahan sehingga angka berjuta-juta ringgit,'' kata Redzuan.

FAM juga, katanya telah menarik balik usulnya untuk mengambil alih soal pembayaran gaji pemain daripada pasukan-pasukan yang dicadangkan awal tahun ini kerana menyedari bahawa ada pasukan yang memberi bayaran gaji lebih tinggi daripada sumbangan geran daripada badan induk itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bmzMfTbb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan