Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar
AWANG import yang mewakili
pasukan Felda United, Edward Junior Wilson (kanan) dihalang oleh penjaga gol
Selangor, Norazlan Razali, dalam perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium
Selayang, Selangor, pada 2015. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
21 Mac 2017 12:00 PM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to
TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More14
KONFLIK dengan Korea Utara
mengingatkan kita kepada sejarah ketika pasukan bola sepak Malaysia mengalahkan
negara tersebut untuk mengutip pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran, 43 tahun
lalu. Hebatnya pasukan bola sepak negara ketika itu.
Dua tahun sebelum itu, pasukan
Malaysia yang dipimpin bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun
Idris juga mencatat sejarah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Jerman.
Pada 1980 pula, pasukan bola
sepak negara di bawah kendalian jurulatih, Karl-Heinz Weigang sekali lagi
menaikkan nama negara apabila melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow.
Bagaimanapun, Malaysia menarik diri kerana konflik antarabangsa.
Kini semuanya menjadi kenangan.
Sebaik sahaja kita tercebur dalam liga profesional, ranking bola sepak kita
semakin merudum.
Sudah 28 tahun liga bola sepak
diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi pencapaian pasukan
kebangsaan masih tidak ke mana-mana, paling tidak pun di rantau ASEAN. Itu pun
naik turun. Juara sekali tetapi kalah yang banyak.
Umpamanya dalam kejohanan
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) kita dimalukan dengan pasukan lemah seperti
Myanmar.
Soalnya sekarang mampukah FAM
mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak kita?
FAM akan mengadakan kongres
tahunannya hujung minggu ini untuk memilih barisan baharu kepimpinannya.
FAM nampaknya terdesak dengan
mempercepatkan tempoh pemilihan jawatankuasa baharu yang sebetulnya berlaku
tahun depan berikutan peletakan jawatan mengejut Tengku Mahkota Pahang, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden badan induk itu.
Pada hal baginda baru sahaja
menggantikan ayahanda baginda, Sultan Pahang pada pemilihan yang lepas iaitu
2014.
Menarik perhatian ialah
pertarungan satu lawan satu antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa untuk jawatan
Presiden dalam kongres itu nanti.
Atas kertas kelihatan TMJ lebih
popular kerana kejayaan kelab JDT yang dipimpinnya berjaya mencatat sejarah
muncul wakil pertama negara muncul juara piala Persekutuan Bola Sepak Asia
(AFC) musim lalu.
JDT juga kelab yang disegani
kerana sejak kebelakangan ini merangkul beberapa kejuaraan dalam liga bola
sepak tempatan.
Tetapi, jangan ketepikan Annuar
kerana beliau juga menjadi wira menaikkan nama pasukan bola sepak Kelantan
hinggakan menjulang Piala Malaysia dan menjadi pasukan yang digeruni lawan
suatu ketika.
Sebagai orang politik yang pernah
menjadi Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab membawa Sukan Komanwel ke
Kuala Lumpur, saya percaya Annuar yang saya kenali juga barangkali mempunyai
strategi, jika tidak masakan mahu terus bertanding.
Barang diingatkan dalam
pengundian sulit macam-macam boleh jadi. Bagi saya siapa juga yang dipilih
sebagai Presiden FAM, hala tuju bola sepak negara terletak di tangan mereka.
Soalnya mampukah presiden baharu
FAM kelak membawa perubahan atau retorik semata-mata?
Ada yang bertanya, mampukah kita
menaikkan semula bola sepak negara selepas pemilihan ini?
Kenapa negara-negara di benua
Afrika yang jauh lebih miskin dan kurang maju mampu berjaya dalam bola sepak
hingga sampai ke pusingan akhir Piala Dunia? Jawapan saya mudah, mereka
memiliki pemain-pemain berkualiti kerana bermain di liga Eropah.
Setakat bermain dalam liga
tempatan, jauh mutunya dibandingkan di pentas antarabangsa. Lagipun, ‘awang
import’ yang dibawa masuk ke Malaysia juga kurang memberi saingan.
Soalnya sekarang mampukah
kepemimpinan baharu yang akan dipilih pada 25 Mac ini mampu membawa perubahan?
Atau kerusi presiden yang menjadi rebutan itu kembali lebih panas.
Secara gurau legenda bola sepak,
Datuk Soh Chin Aun, pernah memberitahu saya; “Bola sepak bukan macam makan
nasi.”
Untuk rekod Chin Aun, 67, yang
masih aktif bermain bola sepak adalah satu-satunya pemain yang mewakili negara
layak ke Sukan Olimpik di Jerman pada 1972 dan 1980, selain Sukan Asia 1974.
Barangkali ada baiknya diberikan
KPI kepada barisan baharu FAM yang dipilih. Sudah tiba masanya kesemua
jawatankuasa baharu FAM meletakkan jawatan sama ada di peringkat negeri atau
kelab bagi menunjukkan komitmen dan tumpu masa sepenuhnya kepada kemajuan bola
negara.
Apapun 39 perwakilan yang akan
hadir wajar bijak membuat keputusan.
Saya percaya ramai peminat dan
penyokong bola sepak menanti keputusan pemilihan Presiden FAM yang baharu dan
juga barisan Exco yang lain dengan penuh debar. Harap-harap ada siaran lintas
langsung oleh stesen televisyen tempatan.
Akhir kata, semoga bola sepak
negara terus ke hadapan di pentas antarabangsa.
DATUK SERI DR. RAJA AHMAD
ZAINUDDIN RAJA OMAR ialah bekas Naib Presiden FAM.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/fam-ke-mana-hala-tuju-bola-sepak-1.459721#ixzz4c0faLFfH©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan