Selasa, 21 Mac 2017

Kim Swee anggap 
Filipina pasukan pilihan


Thomas DOOLEY (dua dari kiri) bersalaman dengan penolong jurulatih
Thomas DOOLEY (dua dari kiri) bersalaman dengan penolong jurulatih 2
THOMAS DOOLEY (dua dari kiri) bersalaman dengan penolong jurulatih Malaysia, Bradley Maloney sambil diperhatikan oleh ketua pasukan Filipina Phil Younghusband (kiri) dan penyerang Harimau Malaysia, Safee Sali. gambar FAM

22 Mac 2017 12:05 AM

KUALA LUMPUR 21 Mac – Walaupun memiliki pengalaman bertemu Filipina sebanyak dua kali, Datuk Ong Kim Swee menegaskan perlawanan itu tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama beliau dalam menyediakan Harimau Malaysia untuk perlawanan terbaharu mereka di Manila esok.

Harimau Malaysia pernah bertemu Azkals seba­nyak dua kali dalam perlawanan persahabatan di Selayang dan Cebu yang menyaksikan kedua-dua perlawanan itu ber­akhir dengan seri tanpa ja­ringan. Dua perlawanan itu adalah yang pertama untuk Kim Swee ketika dilantik sebagai pemang­ku jurulatih.

Kim Swee, 46, berkata Filipina yang masih mengekalkan khidmat Thomas Dooley telah mengalami perubahan dan menampilkan beberapa pemain baharu namun sistem permainan yang di­terapkan tidak banyak berubah.

“Penting untuk pasukan mengambil serius terhadap pertemuan menentang Filipina selepas empat bulan mereka tidak beraksi dalam sebarang perlawanan peringkat antarabangsa.

“Ini peluang terbaik untuk saya menilai kekuatan dan kelemahan pasukan. Sudah pasti saya mahu pemain melakar kemenangan untuk memperbaiki kedudukan Harimau Malaysia dalam ranking dunia.

“Saya pernah bertemu dengan Filipina pada ketika saya pertama kali memainkan peranan sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan dan dalam dua perlawanan tersebut kita seri 0-0.

“Mereka masih menggunakan khidmat jurulatih yang sama tetapi (penelitian) saya mendapati corak permainan mereka bertambah baik. Walaupun terdapat perbezaan dari segi pemain tetapi konsep mereka, saya percaya tidak banyak perubahan.

“Baru-baru ini mereka hanya tewas kepada Thailand dalam Piala AFF 2016 dan selebihnya mereka mampu mencatat dua keputusan seri. Jadi, kita tidak boleh ambil mudah.

“Sudah tentu mereka pasukan pilihan kerana mereka banyak ber­aksi di pentas antarabangsa,” kata­nya kepada pemberita baru-baru ini.

Perlawanan dengan Filipina merupakan ujian untuk Harimau Malaysia dalam persiapan mereka menghadapi Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun.

Filipina pernah bertemu Korea Utara dua kali dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang menyaksikan mereka terikat tanpa jaringan pada 8 Oktober 2015 sebelum melakar kemenangan 3-2 pada 29 Mac 2016.

“Saya tidak boleh menjadikan perlawanan lalu sebagai ukuran. Mesti banyak perubahan yang telah dilakukan oleh jurulatih mereka. Apa yang penting kita tidak boleh ambil mudah perlawanan,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-anggap-8232-filipina-pasukan-pilihan-1.460065#ixzz4c0cH4Fcv© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan