Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia kalah teruk



ARKIB : 25/02/2002
SKUAD bola sepak bawah 17 tahun Malaysia menerima tamparan yang hebat apabila dibelasah oleh Myanmar 7-0 pada perlawanan peringkat kumpulan A kejohanan bola sepak bawah 17 tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Kelana Jaya semalam, lapor DALLIA DUNSTAN.

Pada perlawanan semalam pertahanan Malaysia agak goyah dan barisan serangan bercelaru dihukum oleh Myanmar yang nyata lebih teratur dan mantap dalam melakukan serangan ke kubu lawan.

Walaupun menerima kehadiran sekurang-kurangnya 1,000 penonton ia gagal membantu pemain negara beraksi dengan baik.

Gol pertama Myanmar dijaringkan seawal minit ke-3 daripada Bo Bo Aung yang melakukan rembatan kencang selepas bola gagal ditampan kemas oleh penjaga gol, Mohd Anuar Husaini Uyeup.

Dua puluh minit kemudian, Bo Bo mengganas lagi apabila menyumbat gol kedua Myanmar daripada kecuaian Mohd Anuar yang meninggalkan gawang golnya kosong kerana mahu menghalang percubaan Bo Bo di luar kotak penalti.

Tiga minit sebelum separuh masa, Myanmar menambah gol ketiga mereka daripada percubaan melerek Kyaw Kyaw Soe di tengah padang yang berjaya membolosi kiri gawang gol Malaysia.

Pada babak kedua, Myanmar menjaringkan gol keempat mereka daripada Nyi Nyi Aung yang menyepak kencang bola daripada hantaran silang Myo Min Tun yang melakukan serangan daripada kiri padang pada minit ke-48.

Sepuluh minit kemudian, ketua pasukan Myanmar, Tun Tun Win merembat kencang daripada kekeliruan di hadapan gawang gol Malaysia untuk melebarkan kedudukan kepada kelima Myanmar.

Gol keenam Myanmar sekali lagi dijaringkan oleh Bo Bo pada minit ke-76 daripada kesilapan pemain pertahanan Malaysia, Ahmad Azlan yang gagal menyepak keluar bola daripada hadapan gawang gol.

Myanmar melengkapkan perlawanan dengan jaringan ketujuh mereka pada minit ke-89 daripada Si Thu Maung yang melakukan percubaan daripada jarak 30 meter menewaskan penjaga gol, Mohd Anuar.

Dalam satu lagi perlawanan, Singapura mengalahkan Brunei 7-0.

Jaringan Singapura ialah daripada Mohd Zulkifli (minit ke-21, 23 dan 51), Nor Mohamad (minit ke -29), Mohd Azhar (minit ke-60) dan Hishamuddin (minit ke-79).

Walaupun Malaysia mengalami kekalahan itu, mereka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir yang akan diadakan pada 28 Februari ini.

Mereka kini menduduki tempat kedua di belakang Myanmar pada kedudukan keseluruhan dalam kumpulan A.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bwuOEMEX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan