JURULATIH kebangsaan, Allan
Harris mempertaruhkan harapan kepada enam pemain baru yang dianggapnya
menunjukkan potensi besar ketika seorang lagi pemainnya `dihalau' pulang serta
merta sebaik melaporkan diri di Wisma FAM, kelmarin.
Dua perkembangan terbaru itu
adalah antara gambaran awal yang mewarnai sesi latihan skuad Olimpik bawah 22
tahun negara yang bermula semalam.
Namun perbalahan yang membabitkan
satu-satunya pemain dari Johor dalam skuad negara, Mohd. Farid Ideris dengannya
itu hanya mahu diulas Allan berpunca daripada sikap negatif pemain muda itu
terhadap minatnya bermain untuk Malaysia.
Sambil tidak mahu memperbesarkan
isu kecil itu, Allan jelas lebih berminat mencari resepi terbaik untuk enam
pemain baru itu bergandingan dengan pemain lama.
Mereka yang dipilih daripada
skuad bawah 19 tahun bimbingan K. Rajagopal itu ialah R. Surendran, M.
Ravitharan (Perak), Azralan Azmi (K.Lumpur), Mat Saiful Mohamad (P.Pinang),
Yusri Dermaraju (N.Sembilan) dan Suazman Ariffin (Polis).
``Hari pertama latihan hari ini
(semalam) memperlihatkan kesungguhan tinggi dan potensi mereka dan saya gembira
dengan apa yang mereka pamerkan,'' jelasnya.
Sehubungan itu katanya, ujian
kecergasan yang akan dilakukan ke atas semua pemain hari ini akan menentukan
sejauh mana persediaan mereka memenuhi panggilan mewakili negara kali ini.
Latihan pusat skuad Olimpik
negara ini akan berlangsung dari 10 April hingga penghujung bulan ini.
Selain mencari gandingan terbaik,
Allan turut mengatur perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Jordan
pada 25 dan 28 April ini.
Manakala perlawanan persahabatan
di Bangkok dari 15-21 April ini terpaksa dibatalkan kerana ancaman Sindrom
Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS).
Malaysia akan memulakan cabaran
di pusingan kedua kelayakan Olimpik dengan menentang pemenang pusingan pertama
antara India dan Turkmenistan.
Perlawanan pertama pusingan kedua
itu akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 Mei manakala perlawanan kedua pada
7 Jun
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4csvtdaju©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan