UJIAN awal belum menyaksikan
kemantapan skuad pra Olimpik negara tetapi jurulatih Allan Harris lega kerana
pasukan bimbingannya menunjukkan peningkatan sebelum bermula cabaran kelayakan
Olimpik, Julai ini.
Kata Harris, berkata, skuad
bimbingannya itu masih memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi
menerapkan kombinasi dan meningkatkan kemahiran pemain.
Bagaimanapun, katanya, perlawanan
persahabatan dengan Pahang yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 2-2
menyerlahkan kelemahan skuad bimbingannya itu.
Bagaimanapun, katanya,
persembahan ditunjukkan boleh dikira baik berdasarkan kepada tempoh latihan
yang singkat iaitu selama 10 hari.
``Skuad ini perlu lebih banyak
pendedahan dan perlawanan persahabatan bagi memantapkan kombinasi pemain,''
katanya di Kuantan.
Jurulatih dari England itu
menyifatkan persembahan ``anak-anak buahnya'' sewaktu bertemu Pahang sebagai
masih `berkarat' kerana belum menemui kombinasi terbaik.
Namun, Harris menjelaskan bahawa
dia tidak bimbang dengan situasi itu, malahan memuji persembahan pemainnya yang
mempamerkan semangat juang tinggi apabila mampu mengikat skuad Tok Gajah
meskipun setelah ketinggalan dua gol.
Gol-gol skuad pra Olimpik itu
dijaringkan oleh Mat Saiful Mohamad pada minit ke-60 dan R. Surendran pada
waktu kecederaan sementara gol Pahang dijaringkan oleh Jalaluddin Jaafar dan
Hairuddin Omar.
Harris berkata, pada babak
pertama, skuad negara sering kehilangan punca.
Pada babak kedua, katanya,
persembahan ``anak-anak buahnya'' berubah dengan corak permainan lebih tersusun
sehingga menghasilkan dua jaringan.
Ujarnya, perlawanan persahabatan
itu penting sebagai pemanas badan untuk skuadnya dan memberi peluang kepadanya
menguji 21 pemain.
``Saya juga amat berpuas hati
dengan persembahan enam muka baru di dalam skuad ini yang kebanyakannya
dimasukkan pada babak kedua,'' katanya.
Sementara itu, kata Harris,
ancaman SARS adalah di antara faktor yang menjejas perancangan skuad pra
Olimpik negara.
Menurut Harris, ini kerana
kedua-dua isu tersebut menyebabkan program perlawanan persahabatan dan latihan
di luar negara terpaksa dibatalkan.
``Bagaimanapun, kami akan mencari
alternatif lain untuk memastikan pemain dan skuad pra Olimpik bersedia sebelum
menghadapi kejohanan sebenarnya,'' katanya.
Skuad kebangsaan turut
membatalkan lawatannya ke Thailand untuk mengadakan latihan dan perlawanan
persahabatan dengan pasukan di negara gajah putih itu berikutan ancaman SARS.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ctl61vON
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan