ARKIB : 10/03/2003
JURULATIH bola sepak negara, K.
Rajagopal menganggap pertemuan pasukan bimbingannya dengan Brazil dalam
perlawanan persahabatan 13 Mac ini sebagai antara langit dengan bumi.
Sambil awal-awal lagi mengakui
anak buahnya sukar untuk memenangi perlawanan itu, Rajagopal berharap
pemain-pemain muda negara dapat mempelajari sesuatu yang berguna daripadanya.
``Pemain-pemain saya jelas
menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi walaupun menyedari reputasi
Brazil yang jauh lebih baik.
``Soal kalah perlu diketepikan
buat sementara kerana apa yang penting pemain mendapat pendedahan daripada
perlawanan itu,'' ujarnya, semalam.
Berbekalkan pemain yang cetek
pengalaman dan masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain utamanya,
Rajagopal terpaksa menggunakan segala kekurangan itu untuk bergelut dengan
tugas yang lebih berat.
Ini kerana beliau menjangkakan
Brazil akan turun dengan barisan terkuatnya agar reputasi mereka selaku pasukan
yang disegani di dunia tidak dicalar oleh pasukan seperti MALAYSIA.
Katanya, walaupun Kejohanan
Bolasepak Remaja Dunia di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) ditangguhkan oleh
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), ia tidak akan mengubah kesungguhan
Brazil.
``Saya pasti, mereka akan turun
habis-habisan untuk mempertahankan maruah dan ini tentunya memberi pengalaman
yang baik untuk pemain kita.
``Anda boleh lihat nanti
bagaimana pemain kita menyaingi kemahiran tinggi pemain Brazil dan ia sesuatu
yang menarik untuk disaksikan,'' tegasnya.
Menurut Rajagopal, pasukan
bawah 21 tahun negara yang dilatihnya sekarang kini dalam persiapan awal
menghadapi Sukan SEA di Vietnam dan perlawanan persahabatan ini adalah
pendedahan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak-anak buahnya.
Selain MALAYSIA dan Brazil,
perlawanan persahabatan empat negara ini turut disertai Korea Selatan dan
Portugal yang akan bertemu dalam satu lagi perlawanan.
Pemenang perlawanan itu akan
terus bertemu di akhir manakala pasukan yang kalah akan bermain dalam
perlawanan penentuan tempat ke-3/4.
Walaupun Rajagopal sudah boleh
meramalkan apa yang akan berlaku dalam perlawanan dengan Brazil nanti, beliau
tidak menafikan keadaan itu memberi kelebihan kepada anak-anak buahnya bermain
tanpa tekanan.
``Saya tekankan kepada pemain
supaya berseronok menghadapi perlawanan itu dan tidak terlalu memikirkan soal
kekalahan,'' jelasnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4cigSFmSD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan