ARKIB : 12/10/2001
STRATEGI skuad negara dalam
menghadapi Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia mengalami
rombakan akibat kehilangan dua pemain teraju, lapor A. JAILANI ABDULLAH.
Dua daripada pemain tonggak
itu, Norisham Hassan dan Tengku Alias Ibrahim sepatutnya beraksi di bahagian
tengah tetapi terpaksa dikecualikan setelah ditimpa kecederaan di kaki ketika
menjalani latihan baru-baru ini.
``Ketiadaan mereka, terutama
Norisham dan Tengku Alias menjejaskan rencana pasukan kerana sebelum ini
merekalah pemain yang diharap untuk membimbing pasukan,'' kata jurulatih
pasukan, Paiza Md. Dom, semalam.
``Ketiadaan kedua-dua pemain
itu amat dirasai kerana ia berlaku pada saat-saat akhir,'' katanya lagi.
Selain kedua-dua pemain dari
Terengganu itu, dua pemain lain yang digugurkan dari senarai 18 pemain ke
kejohanan itu ialah penyerang, Mohd. Saiful Adli Mohd dan Mohd. Al Hafiz Hamzah
juga akibat kecederaan.
Kejohanan itu akan berlangsung
dari 13 hingga 20 Oktober di Kuala Lumpur. Kehilangan dua pemain berpengalaman
itu memaksa Paiza memanggil khidmat pemain Bawah 16 tahun, Ahmad Syamil Shukor.
``Saya menunggu saat-saat akhir
untuk membuat pemilihan terakhir kerana mengharapkan mereka dapat sembuh tetapi
hampa,'' ujar beliau kesal.
Paiza turut mengembalikan
Mohamed Fadzli Shaari ke posisi midfield selepas sebelum ini meletakkan pemain
yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen itu di bahagian
serangan.
``Fadzli akan bertindak sebagai
`attacking midfielder' sementara Ahmad Syamil sebagai `defensive midfielder',''
jelas beliau. ``Bahagian serangan pula akan diisi oleh Khairul Izuan Khalid dan
Amir Shahrin Abdul Mubin.''
Namun, kebimbangan Paiza
mendapat sedikit penawar apabila penjaga gol utama, Kam Soon Hong sudah pulih
dari kecederaan buku lali yang telah lama dihidapinya.
Soon Hong ialah penjaga gol
yang membantu Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan di Bangkok tahun lepas
menyebabkan pengalamannya amat berharga kali ini.
Kelmarin, skuad itu mengadakan
perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Simpanan Kuala Lumpur yang
berkeputusan seri 1-1.
Menurut Paiza beliau mencuba
corak bertahan pada perlawanan itu sebagai persediaan menghadapi Thailand,
lawan paling kuat Malaysia dalam kumpulan A.
Selain dua pasukan itu,
kumpulan A turut diisi oleh pasukan kurang dihormati iaitu, Sri Lanka, Hong
Kong dan Brunei.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4blVDXQTE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan