Jumaat, 31 Mac 2017

Obermann akhiri tugas selepas tujuh tahun



ARKIB : 27/05/2003
BEKAS jurulatih pasukan belia Malaysia Holger Obermann menamatkan tugasnya selama tujuh tahun di negara ini selepas beliau menerima tawaran sebagai jurulatih kebangsaan pasukan Afghanistan.

Obermann akan berlepas ke Kabul malam ini untuk memulakan tugas barunya itu yang akan menyaksikan beliau bekerja dengan kerajaan Jerman dan juga mewakili Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai penasihat teknikal.

``Saya sudahpun agak biasa dengan situasi di Afghanistan selepas melawat Kabul sebanyak dua kali dan mengembara di negara itu dari utara ke selatan. Ia pasti tugas yang sukar, tetapi pada masa yang sama ia cabaran yang besar,'' kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Obermann berkata tugas baru beliau termasuk penubuhan satu program pembangunan belia, seminar kejurulatihan dan untuk menganjurkan liga-liga semi-pro dan amatur.

Warga Jerman yang berpengalaman itu telah membawa pasukan kebangsaan Afghanistan ke Piala Asia Selatan di Bangladesh pada Januari lepas yang menyaksikan negara itu berentap dalam perlawanan antarabangsa yang pertama selepas 23 tahun dilanda perang.

Afghanistan tewas 0-1 kepada Sri Lanka dalam perlawanan pertama mereka, diikuti oleh kekalahan 0-4 kepada India dan melengkapkan perlawanan kumpulan dengan mereka ditewaskan 0-1 oleh Pakistan.

Obermann telah dilantik oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebagai pengarah belia teknikal pada 1996 sebelum berpindah ke Kuantan pada 2001 sebagai penasihat teknikal FA Pahang.

``Saya telah melatih banyak daripada pemain-pemain kebangsaan bawah 23 tahun seperti Rudie Ramli, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Fadzli Saari dan mengatur sesi latihan bagi beberapa daripada mereka bersama pasukan Bayern Munich dan bertanggungjawab bagi kontrak setahun Fadzli bersama SV Wehen,'' katanya.

Obermann juga memulakan program First Touch dan membantu Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) untuk memperkenalkan program bola sepak di seluruh negara.

Di Pahang, beliau juga memulakan sekolah latihan terulung khusus bagi penjaga gol di bawah naungan Oliver Kahn, penjaga gol bagi pasukan kebangsaan Jerman pada masa ini.

``Selepas bertugas di 20 negara di Asia dan juga Afrika, saya mesti berkata yang Malaysia kampung halaman kedua bagi saya,'' kata beliau lagi. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cx0v9TrJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan