GUDEOK, Busan - Jaringan hatrik
Mohd. Khalid Jamlus menghidupkan kembali aksi Malaysia dalam acara bola sepak
temasya Sukan Asia XIV Busan ini apabila mereka menewaskan Maldives 3-1 dalam
saingan kumpulan A di Stadium Utama Gudeok, dekat Busan, semalam.
Tiga gol Khalid itu diperoleh
pada minit ke-32, 33 dan 46 yang menyaksikan suasana permainan bertukar argesif
dengan serangan bertali arus barisan kesebelasan utama Malaysia.
Gol pertama Khalid dilakukan
menerusi sepakan kencang yang gagal ditepis oleh penjaga gol Maldives, Imran
Mohamed, sebelum gol kedua menyusul hasil hantaran pendek Hairuddin Omar pada
minit ke-32.
Khalid melengkapkan hatriknya,
sebaik babak kedua bermula apabila berjaya melepaskan diri di depan gawang gol
sebelum melakukan rembatan ketika Imran masih belum bersedia sepenuhnya di
minit ke-46.
Gol Maldives disumbangkan oleh
Fazeel Ibrahim yang berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum merembat
kencang melepasi jangkauan penjaga gol Malaysia, Azmin Azram Abdul Aziz pada
minit ke-80.
Sementara itu, pada aksi babak
pertama ini, Malaysia mengawal keseluruhan permainan dengan melakukan beberapa
percubaan berbahaya di depan gawang Maldives biarpun sesekali melakukan asakan
balas lawan menerusi dua penyerang berbahaya, Luthfy Ashraf dan Fazel Ibrahim.
Peluang pertama Malaysia untuk
menghasilkan gol diperoleh pada minit kesembilan apabila sepakan Indra Putra
Mahayuddin tersasar di sebelah kanan gawang.
Maldives memperoleh satu peluang
keemasan pada minit ke-29 apabila Fazel secara tiba-tiba meloloskan diri dari
pertahanan Malaysia untuk melakukan tandukan yang kemudiannya berjaya di dakap
penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz.
Babak kedua permainan menyaksikan
Malaysia terus menguasai permainan dengan melakukan beberapa siri serangan di
gawang Maldives.
Percubaan terbaik Malaysia pada
babak ini dilakukan oleh Eddy Helmi pada minit ke-52 selepas bola yang dikuis
tidak mengenai tepat kepada kakinya untuk menghasilkan gol yang tidak dikawal
Imran.
Dalam perlawanan terakhir
peringkat kumpulan A ini, Malaysia akan depan cabaran pasukan tuan rumah, Korea
Selatan pada 3 Oktober ini di Stadium Utama Masan. - Utusan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cL5NZGIA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan