PERSIAPAN skuad bola sepak negara
menjelang pertemuan penting menentang Singapura dalam aksi pertama Piala Tiger
2002 Rabu ini, sedikit terganggu apabila dua tonggak utama, Tengku Hazman Raja
Hassan dan Subri Sulong mengalami kecederaan.
Ketua pasukan, Tengku Hazman
mengalami cedera di betis kiri manakala bek kanan, Subri mengalami keadaan yang
sama di paha kiri.
Kecederaan itu dialami sewaktu
latihan di Wisma FAM, kelmarin.
Dua pemain itu yang menjadi
pilihan utama jurulatih kebangsaan, Allan Harris untuk Piala Tiger edisi
keempat di Singapura, tidak menjalani latihan semalam.
Bagaimanapun, keadaan terbaru
yang berlaku dalam kem pasukan negara itu tidak membimbangkan Harris.
``Keadaan Tengku Hazman dan Subri
tidaklah serius. Saya percaya mereka akan pulih dan cergas untuk pertemuan
penting dengan Singapura nanti.
``Tetapi mereka perlu terus
menjalani program pemulihan dan kecergasan,'' kata Harris ketika ditemui
selepas latihan terakhir skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Skuad negara akan berlepas ke
Singapura hari ini untuk menghadapi cabaran Kumpulan B.
Malaysia berdepan dengan juara
bertahan, Thailand, Singapura dan Laos dalam kempen ini.
Kumpulan A yang terdiri daripada
Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Kemboja bermain di Jakarta.
Jika Tengku Hazman dan Subri
masih belum cergas sehingga Rabu ini, Harris mungkin terpaksa menukar barisan
pemainnya.
``Saya mempunyai barisan pemain
yang sama handal dan tidak semestinya mereka (Tengku Hazman dan Subri) menjadi
pilihan utama,'' katanya.
Tengku Hazman, 25, bakal membuat
penampilan kali kedua dalam Piala Tiger selepas 1998 di Vietnam. Pemain
Selangor kelahiran Kelantan itu tidak bersama skuad negara dalam edisi ketiga
pada 2000 di Thailand kerana cedera.
Manakala Subri, 23, beraksi kali
pertama untuk negara dalam Piala Tiger.
Harris mengakui pertemuan dengan
Singapura begitu penting kerana ia akan menentukan kedudukan pasukan negara
dalam kempen ini.
``Kita tidak boleh kalah dengan
Singapura. Thailand adalah pasukan pilihan tetapi kita akan cuba mengejutkan
mereka.
``Tidak banyak yang saya tahu
mengenai Laos tetapi saya menaruh keyakinan kepada barisan pemain ini untuk
mengatasi pasukan itu,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cPmp9NHY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan