Jumaat, 31 Mac 2017

Hanya seri

ARKIB : 17/04/2003 
Oleh YUSWANDI MAJID

PENYERANG Pahang, Azizul Kamaluddin (tengah) dikepung oleh dua pemain skuad Olimpik negara dalam perlawanan persahabatan yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Darul Makmur Kuantan, semalam. - Gambar The Star.

SKUAD Olimpik kebangsaan mempamerkan persembahan terpuji biarpun sekadar seri 2-2 dengan pasukan Pahang dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Sekalipun ketinggalan dua gol, skuad muda negara itu tidak mudah berputus asa dan akhirnya berjaya mengikat Pahang.

Membawa cabaran negara pada kelayakan pra-Olimpik, skuad bimbingan Allan Harris bagaimanapun dilihat masih goyah berhadapan pasukan Pahang.

Berstatus skuad pilihan, anak buah Allan Harris lebih banyak melancarkan gerakan merbahaya menerusi ayam tambatan mereka Indera Putra Mahyuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Peluang terbaik pelawat untuk mendahului hadir pada minit ke-20 menerusi Akmal yang berjaya melepasi tiga benteng pertahanan Pahang termasuk penjaga gol, Zuraimi Hassan.

Namun, Akmal gagal menyudahkan percubaan itu meskipun Zuraimi gagal menangkap kemas bola.

Tuan rumah yang menurunkan kesebelasan utama, jelas tidak mudah menyerah kalah apabila berjaya mencipta beberapa peluang menggegarkan gawang lawan melalui penyerang, Hairuddin Omar namun gagal membuahkan hasil.

Usaha bersungguh-sungguh Tok Gajah berhasil pada minit ke-34 oleh Jalaluddin Jaafar yang menolak kemas hantaran Hairuddin di sebelah kiri gawang lawan menewaskan penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustafa.

Pengalaman cetek barisan pemain muda skuad negara ternyata membataskan percaturan Harris yang terpaksa memperkemaskan posisi tengah kerana buntu mencipta gerakan merbahaya.

Percaturan selepas rehat membuahkan hasil buat anak didik Ralf Borges Ferreira apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Cristiano Pinheiro Da Silva gagal ditangkap kemas Mohd Syamsuri sebelum disambar Hairuddin pada minit ke-48.

Skuad negara sedikit bernafas apabila pemain gantian, Mat Saiful Mohamed melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti menyaksikan penjaga gol Pahang, Zuraimi gagal menangkap kemas pada minit ke-60.

Semangat gol sulung membangkitkan semangat skuad remaja kebangsaan yang akan bersaing pada kelayakan pra Olimpik apabila melancarkan asakan bertali arus.

Gol penyamaan skuad Olimpik itu akhirnya diperolehi ketika permainan sudah memasuki waktu kecederaan melalui R. Surendran.

OLIMPIK MALAYSIA : Syamsuri Mustafa, Zamani Misbah, Ridzuan Radzy, Azralan Azmi, Irwan Fadhli, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Rakhli, Abdul Aziz Ismail, Juzaili Samion, Fadzli Shaari, Saiful Sabtu.

PAHANG : Zuraimi Hassan, Cristiano Pinheiro Da Silva, Subri Sulong, Jalaluddin Jaafar, Helton Soares Pereira, Azmani Abdul Kadir, Azizul Kamaludin, Shahrul Nizam Sahat, Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Shahizan Salleh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ctcNstKR© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan