Ahad, 26 Mac 2017

Kita juara Kumpulan B



ARKIB : 23/12/2002
 
PEMAIN Malaysia, Mohd. Nizaruddin Yusof (no. 20) membuat terjahan ke atas pemain Laos, Ananh Thepsouvanh (no. 6) dan Chalana Luang (no. 5) pada perlawanan Piala Tiger di Singapura semalam. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Daripada BAZLI ABDUL RAHMAN
SINGAPURA - Malaysia yang tidak menurunkan barisan kesebelasan utamanya hanya seri 1-1 dengan Laos dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Bishan, semalam.

Kedua-dua gol dijaringkan di separuh masa pertama. Malaysia menerusi sepakan penalti Mohd. Nizam Jamil pada minit ke-26 dan Laos menerusi Visay Phaphouvann pada minit ke-28.

Perlawanan yang dianggap hanya untuk melengkapkan jadual selepas Malaysia sudah pun layak ke separuh akhir lebih awal bagaimanapun hampir memalukan pasukan negara.

Beraksi tanpa Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Rakhli, Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Azmin Azram Aziz dan Norhafiz Zamani Misbah yang direhatkan, Malaysia bagaimanapun lebih dulu membuka jaringan.

Ini selepas pengadil dari Korea Selatan, Lee Young-chun menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-26 berpunca daripada terjahan keras pemain Laos, Ananh Thepsouvanh ke atas Nizaruddin Yusof dalam kotak penalti.

Pemain pertahanan, Mohd. Nizam Jamil yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakannya dengan baik.

Bagaimanapun tidak sampai dua minit selepas itu, Laos berjaya menyamakan kedudukan.

Sepakan percuma yang diambil oleh Chalana Luang Amath disambut dengan tandukan Phaphaouvann yang mengegarkan gawang Malaysia yang dikawal Mohamad Syamsuri Mustafa.

Jurulatih negara, Allan Harris ternyata orang yang paling lega dengan keputusan itu selepas menyaksikan anak buahnya gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan.

``Saya gembira dengan keputusan ini tetapi agak kecewa dengan corak persembahan keseluruhan yang ditunjukkan pemain saya.

``Mereka bermula baik tetapi semakin merosot persembahan selepas itu. Bagaimanapun beberapa pemain menunjukkan prestasi membanggakan yang pasti menyukarkan saya untuk memilih pemain di separuh akhir nanti,'' ujarnya selepas perlawanan.

Perlawanan semalam turut disaksikan Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dengan keputusan itu, Malaysia muncul juara Kumpulan B dengan tujuh mata dan akan bertemu antara tiga pasukan iaitu Myanmar, Vietnam atau Indonesia yang merupakan naib juara dari Kumpulan A.

Kedudukan itu akan ditentukan hari ini apabila Myanmar bertemu Vietnam manakala Indonesia bertemu Filipina.

Sebelum bertemu Laos, Malaysia telah melayakkan diri ke separuh akhir setelah mengumpul enam mata melalui dua kemenangan awal.

Tiga mata pertama dikutip hasil kemenangan ke atas Singapura 4-0 dan kemudian mengejutkan juara bertahan, Thailand dengan kemenangan 3-1.

MALAYSIA:

Mohamad Syamsuri Mustafa, Subri Sulong (K. Nanthakumar), A. Victor, Chan Wing Hoong, Mohd. Nizam Jamil, Irwan Fadli Idrus, Muhammad Kaironnisam Sahabudin Hussain, Juzaili Samion (Tengku Hazman Raja Hassan), Zainizam Marjan, Mohd. Fadzli Shaari (Eddy Helmi Abdul Manan), Nizaruddin Yusof.

LAOS:

Vanhnasith Thilavongsa, Anousone Khothsombuth, Vilayphone Sayyavong, Chalana Luang Amath, Ananh Thepsouvanh, Valasine Dalaphone, Sousayanh Phengsengsay, Visay Phaphouvann, Nithsavong Khounphachan (Soutsakhone Vongsamany), Sengphet Thongmachan (Chanty Souksombuth), Kholadeth Phonepachan (Soubiah Keophet).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQ0yJrvZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan