Jumaat, 24 Mac 2017

Harris yakin kemampuan skuad negara di Busan



ARKIB : 11/07/2002
WALAUPUN diundi bersama Korea Selatan, pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia bulan lalu, jurulatih kebangsaan Allan Harris tetap yakin pasukan Malaysia akan menunjukkan prestasi baik pada Sukan Asia ke-14 di Busan mulai 29 September hingga 14 Oktober ini.

Di atas kertas Malaysia dilihat hanya mempunyai sedikit peluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir. Pasukan lain dalam kumpulan A itu ialah Oman dan Maldives.

``Bermain dengan Korea Selatan bukannya mudah. Jelas mereka adalah pasukan pilihan dalam kumpulan itu dan oleh yang demikian ia merupakan tugas berat, tetapi saya sentiasa merasa optimis,'' katanya kepada pemberita selepas mengumumkan nama pemain skuad kebangsaan yang akan menentang Singapura dan pasukan Liga Perdana Inggeris Chelsea dalam dua pertandingan persahabatan, di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, sekiranya pasukan kebangsaan bermain baik seperti ketika menentang Brazil dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur sebelum Piala Dunia dua bulan lepas, mereka boleh pergi jauh pada Sukan Asia nanti.

``Selagi kita bermain baik seperti ketika menentang Brazil, secara jujur saya katakan bahawa kita boleh membuat kejutan sebagaimana kita membendung kemenangan 4-0 Brazil itu,'' tambahnya.

Sementara itu, persoalan sama ada penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus akan menyertai kelab SpVgg Greuther Furth akan terjawab Jumaat ini apabila Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Pahang, Holger Obermann pulang dari Jerman.

Obermann dijangka membawa pulang bersamanya kontrak yang ditawarkan kelab bahagian dua Jerman itu yang mahu mengikat Khalid, penjaring terbanyak Perdana Satu musim ini, selama setahun.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Yap Nyim Keong berkata Obermann akan membincangkan tentang kontrak itu bersama Khalid setelah pulang dari Jerman Jumaat ini.

``Tawaran itu memang ada dan kini menunggu Obermann pulang dan duduk berbincang dengan Khalid. Perak pun menyokong pemergian Khalid dan beliau mungkin bertolak ke Jerman bulan depan,'' katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Bernama

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cE15CIJi© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan