Rabu, 22 Mac 2017

Fokus bentuk benteng ampuh: Dominic



DOMINIC Tan.
           
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walau apapun taktikal dan strategi Frank Bernhardt pada Kejohanan Antarabangsa Bawah 23 (B-23) Piala Dubai nanti, skuad B-22 negara perlu bekerja keras membentuk benteng kukuh bagi merantai pemain Asia Barat dan Timur.

Demikian tegas tonggak pertahanan negara, Dominic Tan apabila dijadual berdepan lawan jauh lebih hebat dalam Kumpulan B seperti Arab Saudi, Jordan dan China sepanjang kejohanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Katanya, kekerapan skuad B-22 bertemu lawan dari Asia Tenggara sepanjang tahun lalu termasuk aksi persahabatan terakhir apabila tumbang 0-3 kepada Vietnam pasti menjanjikan cabaran berbeza.

“Kita akui Arab Saudi pasukan terbaik di Asia. Jadi, kita harus memperkuatkan fizikal dan mental apabila menentang mereka nanti.

“Begitu juga dengan China dan Jordan yang sering kali muncul pesaing dekat pasukan terbaik dari benua ini. Jadi kami perlu bersedia dengan barisan pertahanan perlu fokus setiap masa,” katanya kepada Arena Metro sebelum berlepas ke UAE, kelmarin.

Dominic antara tiga pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang dipanggil bagi memperkuatkan skuad B-22 atau dikenali juga dengan Skuad Projek Sukan SEA 2017 bersama Safawi Rasid dan Haziq Nadzli.

Pertahanan kelahiran Singapura berusia 20 tahun ini bakal menjadi taruhan utama di benteng akhir untuk digandingkan bersama ketua pasukan Adib Zainuddin.

“Kami akan cuba untuk menggunakan strategi yang sudah diusahakan dalam sesi latihan untuk meraih keputusan positif nanti,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:12 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan