Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia bermain baik - Ronaldo



ARKIB : 26/05/2002
KEKENTALAN barisan pertahanan negara berjaya menyukarkan pergerakan Ronaldo - keadaan yang menggembirakan bintang bola sepak Brazil itu kerana halangan seperti itulah yang diperlukannya untuk meningkatkan permainan.

``Saya gembira kerana pemain-pemain Malaysia telah bermain dengan baik apabila banyak kali mengekang pergerakan saya. Inilah yang saya mahukan jika mahu meningkatkan diri,'' katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan Malaysia-Brazil, di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Ronaldo yang terkenal dengan panggilan The Phenomenon nyata menjadi senjata utama Brazil berbanding rakannya di bahagian serangan, Rivaldo apabila lebih banyak dilorongkan bola.

Tetapi, pemain kelab Inter Milan itu mendapati terlalu sukar untuk melepasi kawalan Norhafiz Zamani Misbah dan Subri Sulong yang nampak tenang mencuri bola daripada kakinya.

Bagaimanapun, Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama Brazil pada minit ke-52.

``Saya gembira kerana berjaya menjaringkan satu gol. Saya gembira Brazil bermain dengan baik dan kami juga mencipta banyak peluang,'' katanya apabila ditanya mengenai perasaannya tentang perlawanan itu.

``Keputusan tidak penting di sini. Apa yang penting ialah bagaimana persembahan kami,'' katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui memerlukan sedikit lagi masa untuk mengembalikan mutu permainannya kepada kemampuan sebenarnya setelah dua tahun tidak bermain untuk Brazil termasuk di pusingan kelayakan Piala Dunia.

``Saya perlukan sedikit lagi masa untuk cergas sepenuhnya tetapi saya yakin akan meningkat apabila mula beraksi dalam Piala Dunia,'' ujarnya.

Pada Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun, Ronaldo akan menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang Turki, pasukan yang akan ditemuinya dalam perlawanan pertama pada 3 Jun.

Kedua-dua pasukan berada dalam kumpulan C pada Piala Dunia bersama-sama China dan Costa Rica.

Mengenai gandingannya di bahagian hadapan juara dunia empat kali itu, Ronaldo berkata Rivaldo, Ronaldinho dan dirinya sendiri akan menjadi tumpuan pada Piala Dunia yang bermula 31 Mei ini.

``3R akan mencipta banyak masalah kepada pasukan lawan,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih Brazil, Luis Felipe Scolari juga berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

``Kami telah bermain dengan baik dan saya fikir kami telah mendapat banyak faedah daripada perlawanan ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cCmjI1sU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan