Ahad, 26 Mac 2017

Malaysia mampu sekat Singapura


ARKIB : 17/12/2002
SEBAHAGIAN pemain negara menjalani latihan dalam hujan renyai-renyai di Stadium Bukit Gombak, Singapura semalam, menjelang pertemuan penting menentang Singapura dalam bola sepak Piala Tiger 2002, esok. - Gambar ABY BAIZURA HARUN.

KETUA pasukan negara, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, Malaysia mampu mencatat kemenangan ke atas Singapura pada perlawanan pertama bola sepak Piala Tiger 2002 di Stadium Nasional Singapura esok, jika semua pemain ``membuat kerja''.

``Memang perlawanan pertama dengan Singapura amat perit. Singapura memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri dan mendapat sokongan padu penyokong sendiri.

``Mereka juga dibarisi pemain senior yang masih bagus dan ada antaranya pernah bermain semasa Piala Tiger 2000 berbanding pasukan kita yang sebahagian besarnya pemain muda dan kurang pengalaman.

``Tetapi saya masih percaya kami mampu memberi saingan dan mengatasi Singapura jika pemain mengikut segala perancangan jurulatih (Allan Harris).

``Kita boleh menang jika semua pemain sama-sama ``membuat kerja'', kata pemain tengah Selangor yang membantu Red Giants merangkul Piala Malaysia buat kali ke-29, awal November lalu.

Skuad negara kini sudah berada di Kota Singa. Selain Singapura, kumpulan B turut terdiri daripada juara bertahan, Thailand dan Laos.

Tengku Hazman diberi kepercayaan oleh Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan buat kali pertama.

Sebelum ini, tugas itu selalunya diberikan kepada Ahmad Shahrul Azhar Sofian tetapi pemain Perak itu kali ini tidak bersama pasukan kebangsaan.

Shahrul memberi alasan kepenatan dari segi mental dan fizikal dan meminta namanya digugurkan daripada skuad ke Piala Tiger.

Tengku Hazman, pemain kelahiran Kelantan berusia 25 tahun mengakui tugas sebagai jeneral padang amat berat.

``Ini adalah kali pertama saya diberi tugas besar sebagai ketua pasukan dalam pasukan utama negara.

``Sebelum ini saya pernah memikul tugas ini semasa kelayakan Olimpik tetapi ia tidak seberat kali ini.

``Tetapi saya akan berusaha membalas kepercayaan yang diberi kepada saya dengan persembahan yang baik,'' katanya.

Piala Tiger 2002 merupakan penampilan kali kedua buat Tengku Hazman dalam kejohanan ini selepas kali pertama pada kejohanan 1998 di Vietnam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPngMn5S
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan