Jumaat, 24 Mac 2017

Mutu bola sepak jadi topik hangat



ARKIB : 26/07/2002
MANCHESTER - Masa depan sukan bola sepak menjadi antara topik hangat yang dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein.

Menurut beliau, perbincangan serius itu lebih tertumpu ke arah mutu serta masa depan sukan itu khususnya mengenai soal penajaan memandangkan dasar kerajaan bahawa syarikat rokok tidak lagi dibenarkan menjadi penaja mulai tahun depan.

``Kesan pengharaman itu perlu segera dikaji oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain mutu pasukan negara. Kabinet mahukan saya berbincang dengan FAM untuk mengatasi masalah itu,'' katanya.

Difahamkan FAM mempunyai kontrak penajaan dengan sebuah syarikat rokok sehingga tahun 2004 dan pengharaman itu tentunya memberi kesan terhadap pembangunan sukan itu secara keseluruhan.

Mengenai penyertaan pasukan bola sepak ke Sukan Asia di Busan September ini, Hishammudin berkata, jika ada ruang untuk bertanding tidak ada sebab mengapa penyertaan mereka disekat.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, pada masa yang sama, tahap atau mutu permainan bola sepak negara harus diambil kira.

``Mereka perlu ada alasan atau hujah untuk para penyokong sukan ini.

``Saya tidak setuju kalau mereka tidak langsung diberi peluang,'' kata Hishammuddin.

Pada masa yang sama beliau juga tidak bersetuju jika Malaysia menghantar pasukan hanya untuk menanggung malu jika tidak menampilkan aksi terbaik.

``Apa yang penting sekarang ialah mencari jalan penyelesaian dengan semangat kekeluargaan,'' katanya. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cEs4fn1o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan