Jumaat, 31 Mac 2017

Skuad Olimpik negara hadapi ujian Pahang

ARKIB : 15/04/2003
 Oleh YUSWANDI MAJID
SKUAD bawah 23 tahun negara, yang sedang dalam persiapan ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik, akan diuji buat kali pertama apabila menentang Pahang dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur esok.

Biarpun cuma aksi persahabatan, pertemuan yang bakal disaksikan nanti dijangka tetap menarik.

Sebagaimana lazimnya dalam perlawanan persahabatan, kedua-dua pasukan pastinya akan mencuba pelbagai variasi bagi menguji keserasian antara pemain.

Bagi skuad muda bimbingan Allan Harris, perlawanan persahabatan esok perlu digunakan sebaik mungkin untuk memperlihatkan aksi terpuji.

Menentang skuad Pahang juga tidak harus dipandang rendah oleh pemain kebangsaan dengan mengharapkan tiada tentangan sengit diterima.

Ini kerana skuad Pahang kini muncul antara pasukan paling konsisten dalam kempan Perdana Satu dan sudah mula menunjukkan permainan yang cemerlang akhir-akhir ini.

Dengan perkembangan semasa, para penonton boleh mengharapkan satu perlawanan yang menarik disajikan oleh kedua-dua pasukan.

Pahang terpaksa beraksi tanpa pemain mudanya, Fadzli Shaari dan Juzaili Samion yang bermain untuk pasukan kebangsaan.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu pasti dirasai oleh skuad bimbingan Ralf Borges Ferreira kerana mereka adalah antara pemain tulang belakang skuad Tok Gajah.

Fadzli misalnya, bukan sahaja aset penting Pahang bagi menggerakkan jentera tengah tetapi juga penggempur yang berbisa seperti yang ditunjukkan dalam saingan Perdana Satu.

Bagaimanapun, dengan kedua-duanya di dalam pasukan kebangsaan, para penonton berpeluang menyaksikan bagaimana mereka digandingkan pula dengan pemain muda lain seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Norhafiz Zamani Misbah dan Indra Putra Mahyuddin.

Gandingan mereka sebelum ini telah menunjukkan permainan bermutu terutama dalam kejohanan Piala Tiger tahun lepas dengan mengejutkan pasukan lebih berpengalaman.

Allan juga berpeluang menguji enam muka baru yang disenaraikan dalam skuadnya iaitu M. Ravintharan, Azralan Azmi, Mat Saiful Mohamad, Yusri Dermaraju dan Suazman Ariffin.

Perlawanan persahabatan esok adalah sebahagian daripada siri perlawanan persahabatan yang diatur sebelum skuad negara berdepan dengan ujian sebenar iaitu menentang pemenang perlawanan antara India dan Turkmenistan dalam kelayakan Olimpik.

Perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik itu akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 Mei manakala pusingan kedua berlangsung pada 7 Jun.

Latihan pusat skuad Olimpik negara akan berlangsung dari 10 April hingga penghujung bulan ini dan antara perlawanan persahabatan yang diatur termasuk menentang Jordan pada 25 dan 28 April ini.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan persahabatan dengan Pahang berharga RM5 bagi tempat duduk berbumbung dan RM3 bagi tempat duduk terbuka. Perlawanan akan bermula pukul 8.45 malam

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ctNOjC5G
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan