Khamis, 23 Mac 2017

Tugas pertama kalahkan Macau



ARKIB : 04/05/2002
MALAYSIA perlu memenangi perlawanan pertama menentang Macau sekiranya mahu mencerahkan peluang pada pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak bawah-20 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Petaling Jaya bermula hari ini.

Jurulatih remaja negara, Jorvan Vieira berkata, Malaysia perlu memenangi kesemua perlawanan sekiranya mahu mencipta sejarah pertama kali mara ke pusingan akhir kejohanan itu di Qatar, Oktober ini.

``Perlawanan bertemu Macau merupakan permulaan penting bagi melihat peluang pemain negara pada kejohanan ini.

``Malaysia perlu meraih tiga mata di pertemuan ini dan sekiranya kedudukan terikat selepas dua perlawanan, pertemuan dengan Vietnam dijangka menjadi penentu kemaraan kita ke pusingan akhir,'' katanya.

Beliau yang baru memulakan tugas mengendalikan skuad bawah 20 negara sejak Januari lalu berkata demikian selepas mesyuarat pengurus pasukan di Shah Alam, semalam.

Sebanyak empat pasukan - Malaysia, Kemboja, Macau dan Vietnam beraksi di pusingan kelayakan bagi merebut satu tiket ke pusingan akhir kejohanan dwi tahunan itu.

Malaysia belum pernah melepasi pusingan kelayakan bagi beraksi di perlawanan sebenar kejohanan bawah-20 AFC itu.

Jurulatih daripada Brazil itu bagaimanapun merasakan ini merupakan peluang terbaik negara untuk menjuarai pusingan kelayakan sekali gus mara ke perlawanan akhir.

Pasukan negara dibarisi 10 pemain yang pernah beraksi pada kejohanan bawah-17 AFF di Bangkok Januari lalu.

Malaysia menang 2-1 kepada Myanmar dan 4-0 ke atas Filipina pada kejohanan itu tetapi tewas 0-1 dengan Singapura dan 1-8 kepada Thailand di kejohanan AFF itu.

Mengenai cabaran lawan, Vieira berkata, Vietnam semenangnya pasukan pilihan kerana menurunkan kebanyakan pemain yang pernah mara ke separuh akhir kejohanan bawah-17 AFC dua tahun lepas.

``Sebanyak 10 daripada pemain mereka pernah beraksi di kejohanan AFF dua tahun lepas dan mereka pastinya menjadi pasukan pilihan di kejohanan ini,'' katanya.

Beliau bagaimanapun yakin dengan sokongan padu peminat tempatan, skuad negara mampu mencipta kejutan pada kejohanan itu.

Kejohanan yang akan berakhir 8 Mei ini menawarkan tiket bernilai RM5 hingga RM10 untuk menyaksikan setiap perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4c9Xy8qNA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan