Jumaat, 31 Mac 2017

Program Tunas Cemerlang - FAM dapat suntikan RM6 juta



ARKIB : 07/05/2003
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat suntikan kewangan untuk meneruskan program pembangunan remaja Tunas Cemerlang berikutan kesediaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan RM6 juta selama empat tahun sehingga 2006.

Menterinya, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, program itu yang melibatkan tiga pihak iaitu FAM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) bertujuan mengerakkan program pembangunan peringkat akar umbi bagi pelajar-pelajar berusia antara 13-15 tahun.

``Program ini bertujuan mencungkil bakat-bakat diperingkat pelajar sekolah.

``Berikutan persetujuan ini ketiga-tiga pihak terbabit diminta mengadakan mesyuarat bagi mengelakkan pertindihan program dan memastikan wang yang diperuntukkan dimanfaatkan bersama,'' katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan pegawai-pegawai FAM di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Abdullah berkata, kelulusan peruntukan RM1.5 juta setahun itu memadai bagi menjayakan program Tunas Cemerlang yang dimulakan di 60 buah sekolah yang terpilih.

``Pada permulaannya kami akan menumpukan kepada 60 buah pusat program dan jumlah ini akan meningkat sehingga 111 buah menjelang 2006.

``Seramai 60 peserta akan dipilih menyertai setiap pusat program iaitu 20 orang bagi setiap peringkat umur bagi setiap pusat,'' katanya.

FAM mensasarkan untuk mempunyai sebuah pusat Tunas Cemerlang bagi setiap daerah di seluruh negara menjelang 2006.

Peruntukan yang diberi bagaimanapun tidak melibatkan perbelanjaan bagi program akademi yang turut dianjurkan oleh FAM.

Ketika ini terdapat beberapa program pembangunan bola sepak peringkat remaja termasuk Tunas Bola Sepak F&N untuk pelajar bawah 12 tahun dan program yang dikendalikan oleh MSN di 14 buah pusat.

Pelajar yang menyertai Program Tunas Cemerlang FAM-MSN-MSSM itu berpeluang untuk dipilih meneruskan latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Ketika ini seramai 60 pelajar menyertai program bola sepak (bawah 17 tahun) di sekolah tersebut dan setiap tahun kira-kira 30 tempat disediakan untuk pelajar baru.

Dalam satu lagi perkembangan Hishammuddin menjelaskan bahawa beliau hanya bertanggungjawab sepenuhnya kepada padang-padang yang di bawah kuasa beliau.

Berikutan itu beliau memberi jaminan bahawa padang di Stadium Nasional akan diperbaiki menjelang perlawanan bola sepak Piala FA Asia yang dijadualkan 24-27 Julai ini.

Pertandingan yang merupakan perlawanan ujian untuk pasukan kebangsaan itu bagaimanapun masih belum pasti diadakan berikutan kebimbangan pasukan Chelsea, Newcastle United dan Birmingham City terhadap wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang serius di Asia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cumFDl6H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan